Ketika kebanyakan syarikat minyak dan gas menghadapi cabaran ekonomi dunia termasuk menutupkan operasi, Sapura Energy Berhad bagaimanapun dilihat terus berdiri kukuh dan mampu mengharungi pasaran semasa.
DALAM keadaan harga minyak mentah yang mencabar ini juga, Sapura juga mampu memperoleh kontrak dari semasa ke semasa berbanding pesaingnya yang terpaksa bergelut untuk kekal beroperasi.

Keputusan Malaysia menangguhkan projek pembinaan keretapi Pantai Timur (ECRL) dan keretapi laju ke Singapura tidak menjejaskan Sapura yang terus berkembang menerusi pengaruh dan reputasi yang sedia ada.
Kesemua ini adalah hasil kepimpinan dinamik Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Shahril Shamsuddin yang terus menerajui syarikat dengan penuh keazaman dan kegigihan.
Maka bukan menjadi satu rahsia kepada Sapura yang mensasarkan untuk menjadi satu daripada lima syarikat minyak dan gas utama dunia dengan menjadikan aspirasi itu sebagai satu realiti.
“Ramai yang hilang keyakinan dalam industri tetapi Shahril tidak menoleh ke belakang dan menyerah kepada takdir semata-mata tetapi yakin untuk kembali pulih,” kata penganalisis Maybank Investment Bhd.

Hasilnya, Sapura Energy Berhad mengejutkan pasaran dan penganalisis apabila syarikat mencatatkan keuntungan bersih RM208 juta bagi tahun kewangan berakhir Januari 2019 berbanding kerugian bersih RM2.5 bilion pada 2018.
Ini adalah satu lonjakan disebalik cabaran harga pasaran minyak mentah dan kontrak yang menyusut sedangkan gergasi syarikat minyak Murphy Oil Corp meninggalkan Malaysia minggu lalu dengan menjual kepentingannya kepada Thailand’s PTT Exploration and Production Public Co Ltd bernilai RM8.6 bilion.
Sapura bertekad untuk menjadi pemain utama dunia dan di Malaysia, Sapura berada di kedudukan kedua selepas Petronas. Saham Sapura turut didagangkan secara aktif sejak beberapa minggu lalu dan kadang-kala disenaraikan antara saham paling aktif atau meraih keuntungan.
Penasihat Persatuan Penganalisis Teknikal Malaysia, Nazarry Rosli memberitahu media berbahasa Inggeris baru-baru ini bahawa saham Sapura kini kembali ke skrin radar pelabur disebabkan oleh pemulihan yang berpotensi dengan jangkaan keuntungan pada masa depan serta pada masa sama pertumbuhan pendapatan lebih baik berikutan beberapa projek dalam tangan.

“Saham minyak dan gas sentiasa ada turun dan naik disebabkan oleh pergerakan harga minyak mentah dunia,” kata Nazarry lagi.
Bagaimanapun, Sapura juga mengambil sikap berhati-hati jika terpaksa mengadakan pakatan untuk berkembang seperti mengadakan kerjasama dengan Austria OMV AG dan langkah itu mendapat sokongan kukuh daripada Permodalan Nasional Bhd untuk meraih tunai sebanyak RM4 bilion.
Dengan kedudukan tunai berjumlah RM8 bilion, Sapura kini bergerak maju ke hadapan. Prospek Sapura kini cerah kerana memiliki tempahan buku berjumlah RM18 bilion dan gearan bersih 0.6 kali.
“Ini menyediakan syarikat kedudukan kewangan yang fleksibel kepada kumpulan untuk membida dan menawarkan projek bernilai tinggi. Sapura akan kekal fokus untuk meraih tempahan buku dan pada masa sama merekodkan prestasi operasi yang kukuh,” kata Shahril dalam kenyataan ketika mengumumkan keputusan kewangan 2018.

Sapura juga adalah satu daripada syarikat yang dijangka memperoleh perjanjian jangka panjang dengan Saudi Aramco yang memiliki rizab minyak terbesar dunia. Dengan operasi dari New Zealand hingga ke Mexico, Sapura dijangka kembali menjadi penyedia perkhidmatan minyak dan gas terbesar Asia membabitkan modal pasaran.
Syarikat itu kini dalam perjalanan untuk menjadi penyedia perkhidmatan minyak dan gas kelima utama dunia sekali gus mengukir nama Malaysia di peta dunia. Sapura kini membanggakan Malaysia dan dijangka terus berkembang ke lebih 20 negara seluruh dunia.