Sedan sport premium yang terlaris di dunia menetapkan tanda aras baharu dengan reka bentuk atletik yang tiada tandingannya, teknologi inovatif dan prestasi dinamik.
BMW Malaysia hari ini memperkenalkan BMW 3 Series baharu, generasi ketujuh sedan sport ikonik yang sejak diperkenalkan sudah mencatatkan jualan 15 juta unit di peringkat global.
“BMW 3 Series ialah model yang telah menjurusi penubuhan segmen sedan sport premium. Sejak lebih dari 45 tahun, 3 Series secara berterusan telah menaikkan tanda aras bagi Kenikmatan Pemanduan yang Sempurna (Sheer Driving Pleasure) dalam industri automotif premium.
Hari ini, BMW 3 Series yang baharu menerusi generasi ketujuhnya, membawakan perwatakan signatur jentera BMW ke aras yang baharu dengan reka bentuk serba dinamik, dinamik pemanduan yang cemerlang serta teknologi dan inovasi yang tidak pernah dilihat sebelum ini dalam industri automotif Malaysia.
Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, sedan sport yang terunggul daripada BMW ini diperkenalkan dalam pakej ‘M Sport’ khas untuk Malaysia, dan ia menampilkan reka bentuk sport yang dinamik dengan dimensi baharu.
Garisan yang jelas dan jitu, serta permukaan berkontur yang cantik menyinambungkan gaya reka bentuk ikonik yang baharu ini, sementara elemen klasik seperti gril ‘kidney’, lampu hadapan dan lengkok Hofmeister diinterpretasikan semula untuk menzahirkan keterampilan atletik yang lebih menonjol.
Sedan sport ini merevolusikan Kenikmatan Pemanduan yang Sempurna dengan ciri-ciri keterhubungan yang bertaraf tinggi, termasuk pengenalan fungsi baharu dalam kelas seumpamanya, ‘BMW Intelligent Personal Assistant’ dengan kepintaran pengiktirafan suara yang luar biasa.
Fungsi inovatif seperti kunci digital (BMW Digital Key) juga kini ditawarkan bagi BMW 3 Series baharu, membolehkan pemilik membuka kunci kenderaan mereka dan menghidupkan enjin dengan penggunaan telefon pintar.
Android tertentu dengan teknologi ‘Near Field Communications’ (NFC). Sedan sport premium ini juga didatangkan dengan Bantuan Parkir (Parking Assistant) yang turut disertakan dengan Bantuan Mengundur (Reversing Assist) – ia merekodkan perjalanan kereta ini setiap 50 meter, membolehkannya mengundur secara separa autonomi pada kelajuan rendah melalui ruangan yang sempit.
Enjin petrol empat silinder sebaris berfungsi sebagai nadi jentera BMW 3 Series baharu ini – enjin sepertinya yang paling berkuasa buat pertama kali dilengkapi pada kenderaan BMW.
Tambahan lagi, enjin yang diperbaharui ini menjamin penggunaan bahan bakar dan emisi karbon yang rendah, juga atas sumbangan transmisi Steptronic Sport 8-kelajuan versi baharu.
Ia juga mempunyai dimensi saiz 76 mm (4,709 mm) lebih panjang, 16 mm (1,827 mm) lebih lebar dan 6 mm (1,435 mm) lebih tinggi berbanding model terdahulu, lantas meningkatkan tahap keselesaan bagi penumpang di tempat duduk belakang. Jarak roda juga lebih luas dengan ukuran tambahan 41 mm (2,851 mm).
Gril kidney klasik kini tampak lebih besar dan lebar. Ia mengunjur ke lampu hadapan berkembar yang dilengkapi dengan LED serta didatangkan dengan teknologi Bi-LED. Lampu belakang tiga dimensi yang langsing dipasang dalam bentuk L diberi penekanan melalui penggunaan kaca berkabus untuk tarikan serba mewah – memberikan impresi pertama yang penuh sofistikasi kepada orang yang melihatnya.
Siluet dengan jarak roda yang luas, rungkup pendek, garis bumbung persis coupe yang samar dan lengkok Hofmeister pada tiang C (C-pillar) akan mempesonakan peminatnya dengan gaya reka bentuk yang kemas.
Karakter yang luar biasa hadir dalam bentuk bibir spoiler aerodinamik yang dipasang di bahagian belakang dengan dua ekzos 90 milimeter yang tersendiri memberikan jentera BMW 3 Series baharu ini ketangkasan dan kelincahan yang digeruni.
Enjin petrol Turbo TwinPower 2.0 liter yang paling berkuasa dalam kelas seumpamanya dipasang pada model BMW dan ia diperkenalkan menerusi BMW 330i M Sport baharu.
Ia mampu menjana kelajuan tertinggi mencecah 250 km/j. Ia juga berupaya untuk menjana output sebanyak 190 kW/258 kk dengan tork puncak setinggi 400 Nm daripada lingkungan 1,550 hingga 4,400 rpm. Ia boleh memecut daripada kelajuan 0 hingga 100 km dalam masa 5.8 saat.
Dengan transmisi Steptronic Sport 8-kelajuan yang dikemas kini, sedan sport terunggul ini hanya menggunakan bahan bakar yang berjumlah 6.4 liter setiap 100 km. Emisi karbon pula dikurangkan pada tahap 147 g/km dan juga dioptimumkan dengan penapis zarahan yang termasuk dalam sistem rawatan ekzos.
BMW 3 Series yang terbaharu memenuhi standard ekzos Euro 6d-TEMP untuk prestasi pemanduan yang tiada tandingannya tanpa jejak karbon.
Struktur casis yang rapi bagi BMW 3 Series baharu ini menyaksikan dinamik pemanduan yang diperkayakan, karakter pengendalian yang lincah, keupayaan pengemudian berketepatan tinggi dan prestasi brek yang cemerlang ditonjolkan dalam karya binaan ini.
Pemilik boleh mengharapkan sebuah kenderaan yang lebih ringan dan teguh kerana jumlah beratnya telah dikurangkan sebanyak 25 kilogram (berat tanpa muatan berjumlah 1,545 kg), ihsan teknik konstruksi ringan serba pintar yang diguna pakai dalam pembikinan kenderaan ini.
Suspensi ‘M Sport’ akan menyerlahkan peredam (damper) yang berkait dengan daya angkat jentera ini, diperkenalkan buat pertama kali dan mencontohi sistem peredam yang inovatif. Ia berfungsi secara berterusan di samping unjuran spring yang berubah-ubah, meneutralkan getaran yang berlaku ketika melalui bonggol dan menjadikan olahan pembelokan yang lebih dinamik.
Trek tayar yang diperluaskan juga meningkatkan tahap kelincahan serta ketepatan pengendalian kenderaan ini sementara angkup berwarna biru yang memaparkan logo M dilengkapkan pada brek M Sport, lantas menyumbang kepada elemen reka bentuk signaturnya.
Pakej M Sport juga meliputi roda M Light Alloy 18 inci, Double Spoke Style 790 M, Orbit Grey dwi-warna dengan tayar bercampur.
Dengan reka bentuk interior yang kaya dengan lenggok sport serta aspek kemodenan, ruang kabin BMW 3 Series baharu ini menawarkan kenikmatan pemanduan yang tiada tandingannya. Stereng berkulit ‘M Sport’ dengan ciri multifungsi dan padel penukar gear serta pencahayaan interior ambien juga memfokuskan pengalaman pemanduan sport yang dibawakan oleh kenderaan ini.
Dipenuhi dengan ciri-ciri futuristik, model baharu ini juga menampilkan langganan ‘BMW Connected Package Professional’, bersama kefungsian ‘BMW Intelligent Personal Assistant’ dan ‘BMW Digital Key’ yang menjadikan pemilikan BMW 3 Series ini lebih memuaskan.
Sebagai contoh, pemandu boleh mengawal pelbagai fungsi jentera ini seperti navigasi dan penyaman udara dengan hanya memberikan arahan suara. Ia juga boleh menerangkan pelbagai fungsi-fungsi yang melengkapi kenderaan ini, memberikan kemas kini status bagi perkara seperti paras minyak dan membantu mengesan amaran.
Sistem pintar ini akan mempelajari tabiat pemandu dan akan melaraskan kenderaan dengan sebaiknya agar ia sepadan dengan gaya pemanduan pemilik kenderaan tersebut. Kemas kini yang lancar dilakukan oleh ‘Remote Software Upgrade’ akan menambah pelbagai keupayaan yang baharu secara berterusan ke atas jentera BMW 3 Series baharu ini.
Dengan BMW Digital Key, jentera BMW 3 Series baharu ini boleh dibuka dan dikunci dengan mudah menerusi penggunaan teknologi Near Field Communication (NFC) yang dilengkapi dalam pilihan telefon pintar Android Samsung apabila diletakkan berhampiran pemegang pintu.
Enjin kenderaan ini kemudiannya boleh dihidupkan dengan meletakkan telefon pintar ke dalam ruang penyimpanan yang turut mempunyai fungsi pengecasan.
BMW 3 Series yang baharu juga didatangkan dengan Bantuan Parkir (Parking Assistant), sistem berkeupayaan tinggi yang boleh membuat olahan keluar dari ruang parkir yang sempit. Apabila diaktifkan, sistem Bantuan Parkir ini boleh memarkir jentera tersebut di ruang yang selari atau serenjang dengan jalan raya.
Tambahan lagi, Bantuan Mengundur (Reversing Assist) mampu memberikan pertolongan dengan cekap apabila pemandu harus mengoperasikan kenderaan ini dalam ruangan yang sempit.
Sistem intuitif ini juga mengingati pemanduan yang dibuat bagi 50 meter yang terdahulu hingga ke ruang parkir tersebut dan akan menggunakan pengetahuan ini untuk membantu pemandu keluar dari ruang tersebut dengan mengendalikan kereta itu dengan sendiri.
Antara fungsi lain yang melengkapi barisan ciri-ciri inovatif yang ekstensif ini ialah ‘BMW Live Cockpit Professional’. Ia menggandingkan paparan boleh diubah suai serta paparan berpandukan situasi pada kluster instrumen digital bersaiz 12.3 inci dengan Paparan Kawalan (Control Display) bersaiz 10.25.
Operasi yang intuitif boleh dipilih menggunakan kemudahan sesentuh pada Paparan Kawalan, iDrive Controller, butang yang terletak di stereng dan juga menerusi kawalan suara.
BMW 3 Series yang baharu ditawarkan dalam lima warna yang mempesonakan, Portimao Blue, Black Sapphire, Alpine White, Mineral Grey, Sunset Orange, dipadankan dengan warna hitam premium atau upholsteri ‘Cognac Leather Vernasca’ dan kemasan trim interior ‘Aluminium Tetragon’. BMW 3 Series yang baharu boleh didapati daripada pengedar BMW bertauliah di seluruh negara, bermula dari 28 Mac 2019.
Hanya satu model ditawarkan iaitu model varian 330i M Sport yang diimport sepenuhnya (CBU) pada harga atas jalan tanpa insurans RM328,800