Pengiktirafan Bukit Golan sebagai hak rejim pengganas Israel akan menjurus kepada lebih banyak keganasan di wilayah itu sekali gus menjejaskan peluang untuk mencapai keamanan yang saksama.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS) menandatangani pengisytiharan mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas wilayah Bukit Golan dilihat mencabul resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC).
“Resolusi 497 yang diterima pakai pada 1981, menentang pendudukan Israel di Dataran Tinggi Golan hendaklah dihormati oleh semua pihak bagi menjamin keamanan dan ketenteraman wilayah yang menjadi pertikaian,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru beliau berharap Wisma Putra membawa isu pengiktirafan Bukit Golan sebagai wilayah Israel ke PBB bagi melindungi hak Syria.
Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump secara rasmi telah menandatangani pengiktirafan Bukit Golan sebagai hak rejim pengganas Israel.
Israel menduduki dan mengambil sepenuhnya Bukit Golan pada tahun 1981, dalam langkah yang tidak diiktiraf pada peringkat antarabangsa.
Bukit Golan adalah dataran tinggi meliputi 1,200 kilometer persegi, terletak kira-kira 60 kilometer di barat daya ibu negara Syria, Damsyik.
Langkah pemimpin utama negara pembuli itu turut mendapat kritikan hebat daripada Syria – yang memiliki tanah tinggi strategik itu sebelum dirampas Zionis pada 1967.
Syria berkata, keputusan Trump kelmarin dilihat terang-terangan menyerang kedaulatan tanah berkenaan dan mengatakan bahawa negara itu mempunyai hak untuk menuntut semula Bukit Golan. — ISMAWEB.NET






































