Projek kilang pemasangan CKD bagi kereta-kereta Proton yang pertama di Pakistan secara rasminya dijalankan apabila Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, menandatangani plak marmar di satu majlis yang diadakan di Islamabad, Pakistan.

KILANG tersebut, yang akan dibina di tapak Greenfield di Karachi, akan dimiliki dan dikendalikan oleh ALHAJ Automotive, pengedar rasmi untuk kereta-kereta Proton di Pakistan dan dijangka memulakan operasi sebelum akhir 2020.

Pada 2017, Proton telah melancarkan strategi tujuh bintang, iaitu pelan hala tuju untuk mencapai matlamat jangka panjang kereta termasuklah menyasarkan untuk menjual sebanyak 400,000 unit kereta menjelang 2027.

Sasaran pertumbuhan utama pada masa hadapan ialah jualan eksport dan penubuhan kilang pemasangan CKD di pasaran luar negara merupakan salah satu langkah yang diambil untuk mengembangkan angka tersebut.

Bagi menubuhkan PROTON di Pakistan, satu perjanjian bersama ALHAJ Automotive telah ditandatangani pada 29 Ogos 2018, yang mana kumpulan tersebut dilantik sebagai pengedar tunggal untuk kereta-kereta Proton di Pakistan.

Pelan telah dirangka iaitu untuk membina sebuah kilang pemasangan yang baharu, untuk memanfaatkan pengurangan cukai bagi kenderaan CKD di negara ini.

“PROTON sangat berbesar hati di mana hubungan strategik bersama ALHAJ Automotive telah bergerak maju dengan pantas sejak menandatangani perjanjian pada Ogos 2018.

Bagi mengembangkan jualan kereta-kereta Proton di luar Malaysia adalah penting bagi kami untuk mencapai matlamat jangka panjang dan kami berharap pasaran automotif Pakistan menjadi salah satu daripada punca pertumbuhan kami untuk masa hadapan,” kata Dato’ Sri Syed Faisal Albar, Pengerusi PROTON.

ALHAJ Automotive akan melaburkan sebanyak USD30 juta untuk kilang pemasangan CKD baharu. Sebagai seorang pengedar dan pemasang kenderaan yang terkenal, ALHAJ Automotive mempunyai pengalaman dan sumber-sumber yang diperlukan untuk mengurus dan meningkatkan jualan kereta-kereta Proton di Pakistan.

Kilang pemasangan CKD baharu yang akan dibina di Karachi iaitu di tapak Greenfield dengan pelaburan awal sebanyak USD30 juta, akan mewujudkan sebanyak 2,000 peluang pekerjaan secara langsung dalam tiga tahun pertama operasinya.

Dianggarkan lebih 20,000 pekerjaan tidak langsung juga akan wujud hasil daripada kilang baharu yang dibina.

“ALHAJ Automotive amat berbesar hati untuk menjadi pengedar rasmi PROTON di Pakistan. Kami akan memanfaatkan cawangan pengedar sedia ada kami di seluruh negara untuk mula menjual kereta-kereta Proton secepat mungkin sementara kami membina sebuah bangunan cawangan 3S/4S pada masa yang sama.

“Perkara pertama ialah, kami akan mendapatkan unit-unit CBU dari Malaysia sebelum menghasilkan produk CKD sebaik sahaja kilang pemasangan baharu ini beroperasi sebelum akhir tahun 2020,” kata Al-Haj Shah Jee Gul Afridi, Pengerusi ALHAJ Automotive.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini