LBS memulakan 2019 dengan projek pembangunan Perumahan Mampu Dimiliki di Perak

PERBADANAN Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) dan LBS Bina Group Berhad (LBS), melalui anak syarikatnya, Bimbingan Simfoni Sdn Bhd, telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk membangunkan dua bidang tanah di Temoh dan Chepor, Perak.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di pejabat Kerajaan Negeri Perak.

Melalui MoU ini, LBS akan membangunkan 50 ekar tanah di Temoh, berhampiran dengan daerah Batang Padang dan 41 ekar tanah di Chepor, dalam daerah Hulu Kinta, Perak dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM 200 juta.

Tanah tersebut dijangka digunakan untuk pembangunan bercampur yang terdiri daripada rumah teres cluster dalam segmen harga mampu dimiliki dan rumah teres serta rumah semi D.

Kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada suku 4 tahun ini dan akan siap pada tiga sehingga empat tahun akan datang.

Pengarah Urusan Kumpulan LBS Bina Group Berhad, Tan Sri Lim Hock San berkata, perumahan yang mampu dimiliki merupakan isu utama bagi negara sekarang.

“Kerjasama antara LBS dan SSI adalah kehendak bersama untuk membantu merealisasikan komitmen Kerajaan untuk menawarkan satu juta rumah mampu dimiliki dalam tempoh 10 tahun ini.

“Kami amat berterima kasih terhadap Kerajaan Negeri Perak terhadap kepercayaan yang diberikan. Kami akan menyediakan kediaman yang memenuhi kriteria mampu dimiliki rakyat Perak.”

LBS mempunyai lebih daripada 25 tahun pengalaman dalam pembangunan yang memenuhi keperluan pembeli rumah dan komuniti.

Terkini, LBS telah membina 35,000 unit pembangunan termasuk kediaman mampu dimiliki, pangsapuri kediaman, perbandaran berintegrasi dan unit komersil. Pada tahun lepas, LBS telah berjaya mencapai jualan RM1.53 bilion serta mencapai pertumbuhan empat tahun berturutan.

Lim berkata, bahawa projek itu akan menampilkan ciri-ciri teras pembangunan LBS seperti pembinaannya yang lain, iaitu rumah berkualiti yang mempromosikan gaya hidup yang seimbang.

 

“Pada masa kini, pembangunan perumahan bukan sekadar membina sebuah rumah yang berbumbung. Kita perlu meletakkan diri kita di tempat pembeli rumah kita, mengkaji keperluan dan gaya hidup mereka untuk mewujudkan rumah yang akan meningkatkan gaya hidup mereka.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SSI, Azizul Rahman Mohamad berkata, dalam pengumuman rancangan kerajaan negeri Perak untuk 2019 baru-baru ini, sektor perumahan yang mampu dimiliki telah disenaraikan sebagai salah satu sektor utama.

“Kami mensasarkan untuk membina 50,000 rumah mampu milik di Perak dalam tempoh lima tahun akan datang. Kerjasama dengan LBS ini sejajar dengan misi kerajaan negeri untuk membantu lebih ramai orang dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah.”

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini