Seorang usahawan pakaian untuk Islam sedia menyumbang 1,000 kopiah dan 300 helai kurta untuk ustaz dan imam bagi kegunaan NGO Antarabangsa kepada mereka yang memerlukan di Kemboja.
PENGURUS Syarikat Pemborong Pakaian Sarah, Fikri Nasrun berkata, dia terpanggil untuk memberi sumbangan ini kerana kagum dengan semangat, kegigihan dan kesabaran Ketua NGO Antarabangsa, Dato Dr Mustapha Ahmad Marican membantu masyarakat Islam di Kemboja.

Beliau berkata, pertubuhan itu bukan sahaja membantu golongan Islam yang memerlukan dalam usaha memartabatkan agama Islam yang suci malah berjaya menaikkan imej Malaysia di pentas antarabangsa.
“Kesungguhan Dr Mustapha dapat dilihat selama 20 tahun yang menyumbang bakti kepada umat Islam Kemboja dengan kejayaan membina 5 masjid, 10 surau, tiga sekolah tahfiz dan beribu telaga untuk mendapatkan air bersih.
“Tugas ini bukanlah sesuatu yang mudah malah amat mencabar..saya kagum dengan semangat Ketua NGO ini kerana saya sudah lama mengikuti perkembangannya menerusi media massa,” katanya ketika ditemui di kedainya berhampiran Masjid India, Kuala Lumpur.
Beliau berkata, pengiktirafan dan anugerah yang diterima dari Kerajaan Kemboja juga membuktikan pencapaian beliau selaku tokoh antarabangsa.
“Justeru, saya mengambil kesempatan untuk turut menyumbang 1,000 biji Kopiah dengan harga RM30 sebiji dan 300 helai baju Kurta dengan harga RM60 sehelai.
“Sumbangan ini diharap dapat disalurkan kepada ustaz, imam dan individu yang dikenalpasti oleh NG0 Antarabangsa bagi keperluan golongan terbabit di Kemboja …kita sedia timbang untuk memberi sumbangan ini pada masa depan bagi kegunaan umat Islam di sana,” katanya.
Mustapha berkata, ini adalah kali pertama beliau menerima sumbangan daripada syarikat pemborong barang-barang muslim Umrah dan Haji.
“Saya tidak menyangka sama sekali ramai yang menyokong usaha yang dijalankan selama ini kerana pada mulanya saya ingin membeli kopiah kopiah ini kepada golongan ini di Kemboja namun sebaliknya Fikri menghadiahkan semua kopiah dan baju kurta sebagai sumbangan ikhlas kepada NGO Antarabangsa.
Katanya, semua sumbangan itu akan dihantar ke Kemboja pada awal Februari depan dan amat berterima kasih kepada Fikri yang bermurah hati memberi sumbangan kerana barang tersebut sukar diperolehi di sana dan harganya agak mahal bagi pelajar-pelajar tahfiz yang miskin.