AirAsia mengumumkan kerjasama dengan (RED) dalam usaha menyokong Dana Global membanteras AIDS di rantau Asean.
HASIL yang dijana daripada kerjasama (AirAsia) RED akan disalurkan terus ke Dana Global bagi membantu program HIV/AIDS di rantau Asean, di mana lebih daripada 1.8 juta pesakit yang menghidap HIV, menurut data pada tahun 2017 UNAIDS.
AirAsia akan menyalurkan kutipan daripada jualan promosi Tempat Duduk Percuma yang sedang berlangsung dan pelbagai aktiviti lain yang dirancang bagi tahun 2019.
Bagi setiap tempat duduk yang dijual di airasia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia dalam tempoh 24-jam bermula dari tengah hari esok hingga waktu tengah hari pada hari Rabu (GMT +8), AirAsia akan menderma sebanyak USD 20 sen yang cukup untuk menangung keperluan rawatan antiretroviral harian yang boleh menyelamatkan nyawa bagi pesakit HIV.
Selain itu, AirAsia dan (RED) akan bekerjasama dengan syarikat label muzik terkemuka Asia di peringkat global 88rising bagi melancarkan sebuah festival muzik dan seni Asean baharu pada tahun 2019 bagi meningkatkan sikap positif dan kesedaran terhadap HIV/AIDS di rantau ini. Tarikh, tempat dan barisan persembahan akan diumumkan pada tarikh yang akan datang.
Kerjasama ini diumumkan pada majlis pelancaran rekaan pesawat khas (WEAREALLCHAMPIONS)RED di hangar Sepang Aircraft Engineering (SAE) semalam.
Para tetamu turut dihiburkan secara langsung oleh penyanyi yang berpangkalan di Los Angeles, Dumbfoundead, yang turut berkolaborasi bersama 88rising di festival Head in the Clouds di Amerika Syarikat baru-baru ini.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Belia dan Sukan Malaysia Syed Saddiq Abdul Rahman, Pengurus Konsortium Bisnes Malaysia untuk HIV/AIDS Yayasan AIDS Malaysia (MAF) Dr Rethish Raghu, Pengurus Advokasi MAF Dayana Omar, Ketua Pegawai Eksekutif (RED) Deborah Dugan, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif 88rising Sean Miyashiro, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Penjenamaan Kumpulan AirAsia Rudy Khaw, dan lain-lain.
Ketua Pegawai Eksekutif (RED) Deborah Dugan berkata, “Kami sangat teruja dapat kerjasama dengan sebuah jenama yang kreatif dan inovatif seperti AirAsia yang merupakan jenama pilihan ramai dan komited untuk membawa perubahan ketara di Asia Tenggara. Justeru, kami percaya kerjasama (AirAsia)RED ini dapat membawa kesedaran terhadap AIDS ke tahap yang baharu.”
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif 88rising Sean Miyashiro berkata, “88rising berbesar hati untuk melancarkan festival muzik dan seni Asean yang dapat mendorong para hadirin untuk turut menyelamatkan nyawa. Kami akan bersama-sama menjana idea yang kreatif untuk menghasilkan pengalaman unik sambil mewujudkan kesedaran dan penglibatan besar-besaran buat penonton para penonton di peringkat global. ”
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata, “AirAsia sentiasa membuat sesuatu yang mustahil menjadi nyata. Kerjasama global pada hari ini adalah untuk meneraju peluang baharu, bagi pesakit HIV/AIDS dan dari segi membawa mesej positif serta membawa arus perubahan di Asean.
“Ini hanya titik permulaan, dan kami mempunyai lebih banyak rancangan bersama (RED) dengan sokongan daripada 88rising, untuk meluaskan rangkaian di rantau ini.”