Pemberian naskah al-Quran kepada sekolah-sekolah tahfiz di Kemboja adalah sebahagian daripada program yang telah dijalankan oleh NGO Antarabangsa dengan bantuan Kedutaan Arab Saudi di Malaysia.
PENGERUSI dan Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, pihaknya mengembara banyak tempat untuk melihat sendiri pengajian yang diajar di Maahad Tahfiz yang beroperasi di merata tempat di Kemboja.

Beliau berkata, antara barangan keperluan yang tidak mencukupi ialah buku-buku agama dan al-Quran yang masih diperlukan kerana ramai ustaz yang baru balik dari Malaysia, Thailand dan Timur Tengah mahu menyumbang tenaga sebagai pengajar.
“Rata-rata ustaz ini mengambil pendekatan ingin menyumbang kepada kampung halaman mereka walaupun pendapatan tidak seberapa. Ini satu sikap yang terpuji tetapi dalam masa yang sama kita perlu mereka berhijrah untuk menyumbang bakti di tempat yang memerlukan mereka.
“Antara sumbangan ini khususnya kepada kampung-kampung yang baru dibuka dan di kawasan yang ramai penduduk Islam terutamanya golongan mualaf,” katanya ketika menyampaikan sumbangan al- Quran kepada Maahad Tahfiz Saad Mohd Al Kalfi di Kg Sempadan, Kemboja baru-baru ini.

Turut hadir Ustaz Ramli Yusof dan Ketua NGO Muslim Ali Said serta 110 pelajar lelaki dan perempuan.
Mustapha berharap maahad tahfiz yang ada di Kemboja dapat melahirkan ustaz yang berjaya dan dapat penyambung pengajian di luar negara.
“Saya juga berharap ustaz ini kelak boleh menyumbang bakti kepada agama, masyarakat dan negara,” katanya sambil menambah sumbangan al-Quran ini adalah mengikut jumlah pelajar maahad tahfiz berkenaan yang berusia dari 7 tahun hingga 15 tahun.

Mustapha berkata, al-Quran ini diterima daripada Sheikh Abd Rahman M Al-Herfi, Penasihat Islam di Kedutaan Arab Saudi untuk diagihkan kepada sekolah tahfiz di Kemboja.
Untuk rekod, ketika ini tidak ada Kedutaan Arab Saudi di Kemboja dan kesemua al-Quran itu dihantar kepada sekolah tahfiz Kemboja dengan kerjasama NGO tempatan. Dalam pada itu terdapat juga al-Quran mengikut bahasa Kemboja.
Sempena kunjungan beliau ke Kemboja, Dr Mustapha turut singgah melawat Masjid Al- MANSORIAH di Kampung Kabai, yang siap dibina dan diserahkan kepada penduduk kampung berkenaan.