Masyarakat Islam perlu prihatin kepada golongan anak-anak yatim serta mualaf dan penubuhan tabung kebajikan adalah bagi membantu mereka yang tidak mampu menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
KETUA NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, langkah itu perlu dilakukan bagi membantu kanak kanak terbabit supaya tidak mengalami masalah buta huruf dan menghadapi masa depan yang suram.
Beliau berkata demikian ketika melawat sekolah Kg Sempadan di Kemboja baru-baru ini.
Dr Mustapha turut bermesra dengan 50 anak-anak yatim dan mualaf serta melahirkan rasa kebimbangan dikalangan kanak kanak yang tidak bersekolah.
Katanya, ini kerana ada yang terpaksa bekerja membantu ibu atau bapa bekerja di sawah, menjual air dan sebagainya bagi menampung kehidupan keluarga.
“Ibu bapa seolah-olah tidak mementingkan pelajaran anak-anak dan ini amat merugikan apabila mereka dewasa.
“Baru mereka tahu betapa pentingnya pelajaran sekurang-kurang mereka tahu membaca arah tuju jalan,” katanya.
Mustapha turut memohon jasa baik NGO tempatan memainkan peranan untuk membantu memberi kesedaran ibu bapa yang miskin agar berusaha menghantar anak-anak ke sekolah bagi sekolah agama termasuk mahaad tahfiz yang dibina NGO Antarabangsa.
“Kami tidak mengenakan bayaran dan ia percuma malah kita sering bantu anak-anak yatim, mualaf dan fakir miskin untuk menghantar anak-anak mereka belajar malah kita sering memberi pelbagai kemudahan seperti wang saku, alat tulis, buku dan pakaian.
“Oleh itu, saya memberi kerjasama kepada masyarakat kampung untuk sama-sama membantu anak anak untuk mendapat pendidikan bagi mengelakkan mereka buta huruf,” katanya.