Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kerajaan Negeri Terengganu semalam menandatangani dua perjanjian melibatkan Skim Hidroelektrik Hulu Terengganu dan pembinaan bangunan baharu Ibu Pejabat TNB Terengganu, sekali gus mengukuhkan hubungan dan kerjasama antara dua pihak.
PERJANJIAN pertama adalah mengenai royalti air dan lesen bayaran takungan air di Empangan Puah dan Tembat, manakala perjanjian kedua mengenai pembinaan bangunan TNB berhampiran Wisma Darul Iman, di atas tanah seluas 9,581 meter persegi.

Kedua-dua perjanjian ditandatangani Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ A. Rahman Yahya yang disaksikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Rosman Roslan dan Setiausaha Syarikat TNB, Norazni Mohd Isa. Majlis disaksikan oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, di sini.
Projek Skim Hidroelektrik Hulu Terengganu, dengan dua tasik berkeluasan 7,197 hektar atau bersamaan satu per enam Tasik Kenyir, mula beroperasi secara berperingkat-peringkat sejak Disember 2015.
Empangan Puah dan Empangan Tembat memainkan peranan penting ketika banjir besar melanda negara, khususnya Terengganu pada 2014. Empangan berkenaan yang sudah siap dibina ketika itu, telah menakung jumlah air yang sangat banyak akibat hujan lebat berpanjangan, sekali gus meredakan keadaan daripada kemungkinan banjir yang lebih buruk.
Ir. Azman dalam ucapannya berkata, dengan terbinanya projek tersebut, kerugian harta benda penduduk dan kerugian infrastruktur JPS akibat banjir yang boleh dielakkan di Kuala Berang dianggarkan berjumlah kira- kira RM6.4 juta.
“Begitulah penting dan kritikalnya empangan ini kepada kita semua dengan pelbagai peranan termasuk menangani banjir, kemarau, pengairan dan juga air minuman.
“Untuk itu, usaha bersungguh-sungguh mengurus dan memulihara kawasan tadahan penting dalam memastikan kemapanan empangan untuk generasi masa depan,” tambahnya.
Beliau turut menyarankan penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Tasik dan Kawasan Tadahan bagi kawasan Hulu Terengganu sebagai satu pendekatan strategik demi manfaat penduduk dan pembangunan daerah berkenaan.
Dr. Ahmad Samsuri pula berkata, kerajaan negeri Terengganu bersama semua agensinya akan menyampaikan maklumat yang betul kepada rakyat berkaitan peranan empangan hidro elektrik seperti Empangan Kenyir, Puah dan Tembat sebagai tebatan banjir.
Selain menjana elektrik untuk memenuhi tanggungjawab nasional, empangan TNB mempunyai fungi penting bagi mengelakkan limpahan air berlaku semasa musim tengkujuh, katanya lagi.
Ketika ini hidroelektrik dan sumber tenaga boleh baharu lain menyumbang lima peratus kepada sumber penjanaan di Semenanjung Malaysia. Selebihnya arang batu (53 peratus) dan gas asli (42 peratus).
Operasi penjanaan elektrik TNB menerusi Empangan Kenyir serta Empangan Puah dan Empangan Tebat menyumbangkan lebih 26 peratus daripada 2,536MW kapasiti hidro elektrik di Semenanjung. Kapasiti penjanaan dari ketiga-tiga empangan ini adalah sebanyak 665 megawatt (MW) di mana 400 MW daripada Kenyir, manakala 265 MW lagi daripada Puah dan Tebat.
Bangunan Ibu Pejabat TNB Terengganu yang dijangka siap tiga tahun lagi, dapat menampung sehingga 500 orang warga kerja. Ia bakal menjadi mercu tanda baharu dalam Kuala Terengganu City Centre, dengan ciri-ciri kemampanan alam sekitar dan masyarakat setempat, selain mesra pengguna.