Seramai 24 pelajar seni berbakat dari seluruh Malaysia diumumkan sebagai pemenang bagi Pertandingan Seni Siswa Kebangsaan Vision Petron ke-6 dalam upacara yang diadakan pada 12 September lalu.
PERTANDINGAN itu menerima penyertaan sebanyak 1,676 iaitu pencapaian tertinggi bagi pertandingan kebangsaan.

Muhammad Akif Muhammad Azmi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam muncul sebagai pemenang utama dalam kategori Seni Lukisan, mengalahkan 475 peserta lain melalui karya seni kreatifnya yang dikenali sebagai Batik Tradisional.
Dalam kategori Fotografi, Mohammad Syamil Mohd Rasli dari Universiti Multimedia (MMU) mengalahkan 1,068 penyertaan untuk menjadi pemenang utama bagi karya bertajuk Cinta dan Tradisi. Kategori ini merupakan penyertaan tertinggi dalam empat kategori yang dipertandingkan pada tahun 2018.
Bahasa visual yang menakjubkan dengan pilihan muzik dan pergerakan yang sangat baik dalam Rest at Trap (R.A.T.) oleh Muhammad Amin Kamarul Bahar dari UiTM Shah Alam dipilih sebagai pemenang hadiah utama dalam kategori Videografi daripada 98 penyertaan.

Dalam kategori baru yang diperkenalkan tahun ini, Komposisi Muzik, gandingan dinamik dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Sim Er Wen dan Sim Li Wei membawa pulang hadiah utama dengan mengalahkan 34 penyertaan melalui lagu Melodi Malaysia.
“Kami berbesar hati untuk terus mempromosikan pembangunan negara melalui pertandingan seni Vision Petron. Dengan jumlah penyertaan pelajar yang tertinggi pada tahun ini, Vision Petron akan terus menjadi platform bagi pelajar muda dan berbakat besar untuk mengekspresikan idea dan mencetus inspirasi kepada orang lain,” kata Faridah Ali, Ketua Jabatan Dagangan Runcit Petron Malaysia.

Para pemenang telah dipilih oleh panel hakim berdasarkan keaslian, komposisi, dan kreativiti, kemahiran teknikal, dan lirik, melodi serta susunan muzik untuk komposisi muzik. Barisan hakim bagi tahun ini termasuk artis yang tersohor Bibi Chew, Maamor Jantan dan Nicholas Choong untuk lukisan; Ng Kok Leong, Dr Nick Ng dan Yaman Ibrahim untuk fotografi; pencipta filem ternama James Lee, Nadira Ilana dan Tan Chui Mui untuk videografi; dan komposer muzik Fauzi Marzuki, Ng Chor Guan, dan Azmyl Yunor untuk komposisi muzik.
Kolej Antarabangsa INTI Subang menghantar bilangan penyertaan paling banyak dengan jumlah 473 karya seni. Institusi pengajian tinggi lain termasuk: Universiti Teknologi MARA, Universiti Multimedia Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Institut Seni Malaysia, Kolej SEGi, Management and Science University, Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, Politeknik Ibrahim Sultan Johor Bahru, Universiti Selangor, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan, UCSI University, Universiti Putra Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, dan Universiti Malaysia Sarawak.

Pemenang hadiah utama menerima hadiah wang tunai RM3,000, manakala pemenang tempat kedua dan ketiga menerima RM2,000 dan RM1,000 termasuk barangan premium Petron eksklusif bernilai RM500 setiap satu.
Tempat keempat, kelima dan keenam masing-masing memenangi RM500 dan barangan premium Petron eksklusif bernilai RM200 setiap satu. Semua pemenang turut diberikan piala dan sijil penyertaan. Senarai pemenang penuh di dalam dokumen yang dilampirkan.
Lebih daripada memenangi hadiah, hasil seni pemenang diiktiraf oleh artis negara ternama dan dipamerkan buat orang ramai melalui pameran Vision Petron yang diadakan di The Starling Mall Damansara Utama Petaling Jaya.
Pameran ini diadakan untuk memberikan pelajar suatu expresi pencapaian yang lebih tinggi apabila mereka meneruskan perjalanan sebagai artis.
Pertandingan ini dibuka kepada semua pelajar tempatan dan antarabangsa yang belajar di kolej dan universiti tempatan antara umur 18 hingga 28 tahun. Untuk maklumat lanjut mengenai pertandingan ini, lawati http: //visionpetronmalaysia.com.