Selepas menanti hampir 5 tahun kira-kira 3,000 penduduk Islam Kampung Kabai, Kemboja di sini bakal memperolehi sebuah masjod tidak lama lagi.

PENGERUSI NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, projek masjid itu dibina kerana penghijrahan penduduk Islam ke kampung dengan membuka tanah tanah baru sejak 5 tahun lalu.

Beliau berkata, bermula dari 100 keluarga, kini sudah hampir 300 keluarga menetap di sini dan mereka amat memerlukan sebuah masjid bagi memupuk semangat kekeluargaan, mengadakan pelbagai program seperti mesyuarat dan menganjurkan kelas pendidikan berteraskan agama bagi anak-anak mereka.

“Sebelum ini mereka terpaksa menunaikan solat di surau yang kecil dan uzur. Dengan terbinanya masjid ini, penduduk Kampung Kabai tidak perlu lagi pergi ke kampung Lain untuk solat Jumaat atau aktiviti keagamaan yang jauh berpuluh kilometer dengan adanya masjid ini,” katanya.

Menurutnya, kos pembinaan ini berjumlah USD100,000 dan derma ini datang dari seorang dermawan rakyat Malaysia.

Projek masjid ini dibina pada November tahun lalu dan di jangka siap sepenuhnya pada September tahun ini. Masjid ini dibina atas tanah seluas 3 ekar dan sebahagian tanah tersebut digunakan untuk padang bola sepak bagi memupuk aktiviti bersukan dan perpaduan sesama kaum kerana sebahagian besar juga penduduk asal kampung ini ada bukan beragama Islam.

Selain dari itu, Mustapha juga menyarankan masjid-masjid di negara ini perlu ada pendapatan sendiri ini kerana disini imam dan bilal tidak bergaji kerana mereka mempunyai keluarga untuk ditanggung.

“Justeru, saya menyeru mereka supaya memikirkan keadaan terbaik dengan berniaga di kawasan masjid seperti membuka gerai makanan dan minuman atau apa saja yang boleh mendatangkan hasil dimana hasil keuntungan dimasuk ke Tabung Masjid bagi membayar bil elektrik dan lain lain keperluan,” katanya.

Beliau berkata, adalah menjadi hasrat melihat semua masjid yang dibina oleh NGO Antarabangsa membabitkan sejumlah 4 buah yang sudah siap dan sebuah lagi yang sedang dalam pembinaan akan menjana pendapatan sendiri bagi kegunaan masjid berkenaan.

Mustapha berkata, masjid ke 5 itu mempunyai ciri-ciri masjid di Malaysia dengan cat yang berkualiti, lantai, tempat wuduk, tandas dan tempat Solat Wanita berasingan.

Masjid ini juga mempunyai 2 menara dan 1 kubah malah kelebihan masjid ini berdekatan jalan raya utama ke tempat pelancongan di pergunungan Mondokiri. Jarak kampung ini dengan Phnom Penh kira-kira 530km dengan menaiki kereta selama 7 atau 8 jam perjalanan dari ibu kota.

Beliau berkata, pihaknya berhasrat membina sekolah Maahad Tahfiz berdekatan masjid ini bagi memudahkan anak anak mendapat pendidikan sewajarnya dan buat masa ini pihak NGO sudah bina 3 sekolah Maahad Tahfiz di Kemboja.

Ada diantara pelajarnya sudah melanjutkan pengajian di Mesir, Arab Saudi, Kuwait dan Malaysia. Apa yang mustahak semua maahad Tahfiz berdaftar dengan Kerajaan dengan cara tersebut mudah untuk mendapat tajaan dari negara tersebut.

Buat masa ini permintaan untuk membina masjid dan sekolah Tahfiz amat menggalakkan tetapi NGO Antarabangsa tidak mempunyai peruntukan besar bergantung kepada keikhlasan dan ehsan kawan.

Jadi keperluan itu perlu dilihat keutamaan kepada kampung-kampung yang miskin jauh dipedalaman dan selain itu, NGO Antarabangsa juga terlibat dalam kerja kebajikan seperti membuat telaga dan setakat ini sudah 3,000 lebih telaga sudah dibina bagi mendapat air bersih begitu juga bantuan untuk fakir miskin dan anak anak Yatim.

Pada masa depan, pihak NGO Antarabangsa juga akan mengadakan projek membaiki rumah golongan fakir miskin dan merancang membawa doktor Malaysia untuk projek kesedaran kesihatan kepada masyarakat setempat.