Kemiskinan umat Islam di perkampungan Melayu Champa mendapat perhatian Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan, NGO Antarabangsa untuk menghulurkan bantuan kepada penduduk miskin di 20 kampung terpilih.

PENGERUSI dan Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, pada tahun ini ada kelainan sedikit dalam program yang dianjurkan dimana bantuan keperluan asas diberikan kepada 1,000 penduduk yang miskin daif.

Fakir miskin dan ibu tunggal menerima sumbangan beras dan keperluan asas dari NGO Antarabangsa

Beliau berkata, bantuan itu membabitkan hampir 20 kampung Islam di pedalaman sehingga ke Mondokiri dan Bonjuri dengan perjalanan hampir 800 km dari ibukota, Phnom Penh.

Program yang dibuat menjelang Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri ini dengan memberi bantuan keperluan asas seperti beras 20 kilogram, gula, minyak, mee, tepung dan lain-lain.

Katanya, menjelang Hari Raya, pihaknya turut memberikan daging lembu sebanyak 1 kilogram seorang supaya mereka dapat menggunakan keperluan itu untuk di masak di pagi Hari Raya.

Salah seorang fakir miskin Adam Said menerima beras dan keperluan asas lain dari Pengerusi dan Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican

“Dengan sumbangan kecil ini sekurang-kurangnya mereka yang miskin daif ini dapat sama-sama merayakan hari yang mulia bersama-sama dengan mereka yang lain menerusi misi kemanusiaan hampir 20 tahun,” katanya.

Untuk rekod, menerusi NGO Antarabangsa ini, Mustapha telah berjaya membina empat buah masjid di Kemboja, tiga sekolah agama dan 3,000 telaga (perigi) serta lain lain sumbangan hampir 20 tahun di Thailand.

Beliau turut membina pusat tahfiz dan rumah anak-anak yatim dan sekarang sedang menyiapkan masjid ke 5 yang dijangka siap sepenuhnya Ogos tahun ini.

Kanak-kanak dari golongan miskin menerima duit sumbangan RM10 seorang

Semua sumbangan untuk aktiviti yang dilakukan ini datang dari rakan-rakan dan dermawan yang bermurah hati menderma untuk program yang dijalankan.

“Saya amat berterima kasih kepada rakan-rakan yang prihatin kerana bukan mudah untuk kita mendapat sumbangan. Oleh itu kita gunakan sumbangan ini untuk kepentingan mereka yang memerlukan dan itu antara sebab saya bergerak secara solo kerana kos perbelanjaan melibatkan satu pasukan membabitkan banyak belanja.

“Jadi saya bergerak sendirian lebih mudah dan cepat kerana apa yang penting kita ada hubungan dengan NGO tempatan lain,” katanya.

Rumah fakir miskin di salah satu kampung di pedalaman Kemboja

Menurut Mustapha lagi, program yang dijalankan sepanjang tahun sentiasa ada perubahan ke arah yang lebih baik bagi kebaikan umat Islam sejagatnya.

Di kemboja sahaja manakala di negara Asean yang lain seperti Thailand, Vietnam, Laos, Myanmar, Indonesia dan Filipina baru 10 rahun terlibat dalam misi bantuan.

Menurutnya, usaha ini bukanlah mudah tetapi dilakukan kerana berasa puas hati kerana dapat melihat orang lain gembira.

Ibu tunggal menerima beras dan keperluan asas dari NGO Antarabangsa

“Berdasarkan pengalaman saya selama 12 tahun di Wisma Putra banyak perkara yang saya timba khususnya negara yang menghadapi konflik antarabangsa seperti konflik peperangan, konflik politik dan bencana alam.

“Sesuatu yang amat menyedihkan apabila berlaku konflik tersebut. Yang menjadi mangsa adalah orang-orang tua, wanita dan kanak kanak. Saya terpanggil buat program ini setelah melihat semua yang berlaku melalui lawatan rasmi ke tempat yang berlaku konflik semasa bertugas di Wisma Putra sejak 1999,” katanya.

Mustapha merupakan Bekas Komander Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Beliau banyak mencipta sejarah tersendiri dengan membawa imej TLDM di arena antarabangsa melalui Wisma Putra dan NGO antarabangsa.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini