Bank Islam Malaysia Berhad (“Bank Islam”) memenangi anugerah Malaysia Deal of the Year 2017 oleh Islamic Finance News (“IFN”) bagi projek pembiayaannya kepada CMC Group Sdn Bhd (“CMC”).
PERKARA itu telah diumumkan oleh IFN pada 17 Januari 2017 di bawah anugerah IFN Deal of the Year 2017, yang dihakimi oleh panel bebas pakar-pakar industri.
IFN merupakan penerbitan tersohor yang menumpukan kepada industri pasaran modal dengan liputan luas mengenai pasaran pembiayaan Islam global. Majlis Makan Malam Anugerah IFN ini telah diadakan di Hotel Shangri-La Hotel, Kuala Lumpur.
Pada tahun 2017, Bank Islam menjadi bank penaja Platform Akaun Pelaburan (IAP) bagi
membiayai sebahagian daripada projek integrasi telekomunikasi CMC untuk Ho Chi Minh
City Urban Railway System (Line 1) bernilai RM23 juta di Vietnam.
Urus niaga tersebut merupakan produk kedua Akaun Pelaburan Terhad yang ditawarkan oleh Bank Islam di bawah IAP sejak dilancarkan oleh Bank Negara Malaysia (“BNM”) pada tahun 2016.
Pada tahun 2015, Bank Islam merupakan salah sebuah bank Islam pengasas yang
membentuk konsortium yang melancarkan IAP. Ianya sama seperti platform teknologi
kewangan seperti pendanaan awam (crowd-funding) dan platform pembiayaan perangkai
padan (peer-to-peer).
Walau bagaimanapun, faktor perbezaan utama IAP ialah peranan pengantaraan yang dimainkan oleh institusi-institusi kewangan Islam termasuk menyaring usaha-usaha yang berdaya maju, menjalankan usaha-usaha wajar terhadap prospek usaha niaga, menyediakan pendedahan mengenai dasar usaha niaga dan profil pulangan risiko mereka, menjalankan pemantauan berterusan mengenai prestasi usaha niaga dan memastikan tadbir urus yang betul untuk melindungi kepentingan pelabur.
Mengenai transaksi CMC, CMC menggunakan IAP sebagai alternatif untuk mendapatkan pembiayaan dan mendapatkan akses kepada pelbagai pelabur manakala para pelabur pula mendapat pendedahan kewangan yang spesifik kepada projek utama CMC di Vietnam.
Khairul Kamarudin, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam berkata “Kami merasa
bangga memenangi anugerah Malaysia Deal of the Year daripada IFN. Anugerah ini
merupakan pengiktirafan kepada usaha Bank Islam dalam melaksanakan inovasi
perbankan Islam digital.
Di samping itu, senarai usaha niaga berdaya maju di bawah IAP akan menberikan sokongan kepada pertumbuhan berterusan sektor Industri Kecil dan Sederhana (“IKS”) yang berpotensi mewujudkan kesan gandaan positif lebih besar kepada ekonomi.
Penglibatan kami dalam usaha niaga ini adalah selari dengan aspirasi kami sebagai Pengantara Berasaskan Nilai (“VBI”) yang merupakan satu cara untuk menyumbang kepada pertumbuhan progresif persekitaran bandar sambil menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dan pencemaran alam sekitar.
Perjalanan IAP kami berada di peringkat permulaan dan kami berharap untuk membangunkan lebih banyak lagi penyelesaian teknologi kewangan, khusus bagi segmen runcit dan IKS, yang
mengoptimumkan sumber, meningkatkan kecekapan dan pengalaman pelanggan serta
terus memainkan peranan yang penting sebagai Pengantara Berasaskan Nilai.”