Ejen Ali dan AirAsia melancarkan Jet Perisik MATA atau MATA Spy Jet, sebuah pesawat Airbus A320 AirAsia yang dihiasi ‘livery’ reka bentuk Ejen Ali.

PELANCARAN tersebut merupakan acara kemuncak kempen #MisiAspirasiAirAsia, sebuah kerjasama antara Ejen Ali dan AirAsia yang mendukung empat nilai murni – beraspirasi tinggi, mesra, bijak berbelanja dan baik hati, dan bertujuan memberi inspirasi dan mencorak sifat-sifat kepimpinan dalam diri kanak-kanak hari ini sebagai bakal pemimpin masa hadapan.

Kempen ini dilancarkan September lalu melalui pertandingan video #MisiAspirasiAirAsia, di mana Ejen Ali dan AirAsia mencari rekrut Ejen baru dengan menjemput ibubapa untuk berkongsi video anak-anak mereka beraksi sambil memperlihatkan empat nilai murni tersebut di laman sosial.

Pemenang pertandingan tersebut turut diumumkan dalam sidang media ini, di mana Hadiah Utama berupa 1 juta BIG points, bersamaan tiket penerbangan percuma untuk seluruh keluarga selama satu tahun dihadiahkan kepada Muhammad Adam Rashidi Mohd Rafiq.

Pada 17 Mac 2018, empat Ejen cemerlang telah dijemput untuk menyertai Ejen Ali dan AirAsia dalam sebuah misi rahsia untuk menceriakan penghuni Orion Home, sebuah rumah kebajikan yang didiami 87 kanak-kanak kurang berkemampuan di bawah jagaan The Budimas, Charitable Foundation, yang terletak di Paroi, Negeri Sembilan.

Turut disertai AirAsia Fun Team dan maskot Ejen Ali, aktiviti khas semasa acara tersebut termasuk permainan sukaneka, sesi inspirasi oleh salah seorang juruterbang AirAsia, sesi tutorial solekan bersama krew kabin AirAsia dan sesi pra-tonton eksklusif episod terbaru siri Ejen Ali.

Ejen Ali dan AirAsia turut memberikan sumbangan buku buat Budimas Education Charity Fund, salah sebuah program yang dikelolakan organisasi Budimas yang bertujuan untuk membina perpustakaan di kawasan luar bandar dan miskin di serata Malaysia.

Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios berkata, “Pelancaran ‘livery’ ini merupakan sebuah peristiwa yang amat bermakna buat Ejen Ali kerana ia merupakan siri animasi Malaysia pertama yang berpeluang untuk terbang tinggi bersama AirAsia.

Kami berbesar hati dengan pencapaian Ejen Ali selaku salah satu wakil terkemuka industri animasi Malaysia, serta berharap lebih ramai kanak-kanak di serata dunia akan tertarik dengan aksi hero cilik ini, di samping mendorong mereka untuk mencapai impian besar mereka.”

“Kami berasa amat berpuas hati melihat segala usaha kami untuk menghasilkan siri kartun Ejen Ali kini dizahirkan di sebuah pesawat AirAsia, Peluang emas ini ibarat sebuah pengiktirafan bahawa animasi kelahiran Malaysia berkebolehan untuk mensajikan pengalaman lebih luas buat para penonton, yang mengjangkaui nilai hiburan semata-mata.

Kami berharap kerjasama seperti ini akan mendorong perkembangan yang lebih pesat untuk industri animasi Malaysia,” ujar Usamah Zaid Yasin, Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation.

Spencer Lee, Ketua Komersial, AirAsia Malaysia pula berkata, “Kanak-kanak amatlah berharga
dan AirAsia sentiasa mengangkat tinggi kepentingan penumpang muda kami. Konsep
#MisiAspirasiAirAsia menggalakkan generasi muda untuk menunjukkan bakat mereka dengan cara yang menyeronokkan.

Pada masa yang sama, kami berharap untuk memberi ilham kepada mereka sebagai golongan pemimpin dunia masa hadapan. Kerjasama bersama Ejen Ali ini menyediakan
pengalaman indah melalui #MisiAspirasiAirAsia untuk mengejar impian mereka. Kami akan terus mencari cara inovatif untuk memberi inspirasi generasi pemimpin masa hadapan.”

Ejen Ali bersiaran di TV3 setiap Jumaat jam 5.30 petang dan Sabtu jam 10.30 pagi, dan kini dalam siaran antarabangsa di lebih 50 negara seluruh dunia. Peminat Ejen Ali juga boleh menonton Musim 1 di applikasi tonton, melalui ROKKI Wi-Fi, yang menyajikan hiburan dalam penerbangan PERCUMA termasuk permainan, muzik dah kandungan video khas untuk tontonan kanak-kanak semasa penerbangan AirAsia.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini