Lost World of Tambun (LWOT), taman tema yang paling popular di utara tanah air, terletak di Ipoh, Perak bukan sahaja menawarkan pelbagai jenis tarikan tetapi menyimpan seribu ‘misteri’ yang perlu diterokai.
LWOT merupakan taman tema semulajadi yang terbesar di Malaysia. Terdapat 7 tarikan di LWOT iaitu Taman Tema Air (water Park), Amusement Park, Petting Zoo, Tiger Valey, Tin valley, Adventure Park dan Lost World Hot Springs & Spa.
Tidak lama lagi taman tema itu akan membuka daya tarikan terbarunya pada minggu depan dikenali sebagai Luminous Forest yang menggambarkan satu perkampungan Orang Asli yang menjadi tempat tinggal kaum Malayana iaitu keluarga Kukuntalu dan Masina (isteri) serta anak-anaknya iaitu Natia dan Haku. Suku kaum Malayana pernah mendiami hutan batu kapur Tambun, sekali gus menjadi maskot taman tema ini.
Taman ini cukup unik seolah-olah dipenuhi cahaya pada waktu malam yang mana penulis berpendapat seakan suasana dalam filem box office Avatar arahan James Cameron yang pernah ditayangkan pada 2009.
Ikuti pengalaman penulis ketika tiba di depan taman tema ini, penulis disambut oleh beberapa ekor patung kucing besar yang seolah-olah menjaga pintu gerbang atau pintu masuk ke LWOT ini dan sebaik melangkah masuk, penulis seakan terpesona melihat dekorasi taman tema ini yang cukup unik dan berbeza berbanding taman tema lain.
Meskipun tiba di taman ini pada waktu hujan, layanan mesra Eksekutif Pemasaran Media Sosial dan Sokongan Digital LWOT, Mohd Firdauz Mohd Zain tidak menghampakan kehadiran penulis sekeluarga. Kami berasa teruju apabila melihat kepada pelbagai jenis daya tarikan yang disediakan kepada pengunjung.
Taman tema ini dibuka setiap hari kecuali Selasa dan disebabkan penulis datang pada Sabtu, tempat ini sesak dengan pengunjung yang kebanyakannya membawa keluarga malah menjadi pilihan kepada syarikat korporat mengadakan Hari Keluarga mahupun aktiviti lain yang bercirikan pengembaraan.
Tarikan yang paling unik dan membezakan LWOT dengan taman tema lain ialah kolam air panas bermineral semulajadi yang dibina dengan moden dan cantik bukan sahaja sesuai untuk golongan dewasa malah kanak-kanak kerana dilengkapi papan gelungsur. Boleh dikatakan kolam air panas yang mesra pengguna ini adalah yang terbesar di negara ini.
Berkunjung ke Lost World Hot Springs & Spa, anda boleh berehat sambil merendamkan diri dalam air panas dan pilihlah kolam kegemaran anda mengikut tahap kepanasan. Untuk lebih menyeronokkan kolam air panas ini dibuka kepada pengunjung sehingga jam 11 malam dan lagi ‘best’ berendam selepas hari hujan.
Bagi yang mahu mencari kelainan boleh memanjakan diri dengan mendapatkan urutan badan secara tradisional di spa yang disediakan. Pada waktu malam, setiap kolam air panas ini dihiasi dengan lampu-lampu berwarna-warni menjadikan suasana kawasan sekitar cukup menenangkan dan mendamaikan sekali gus dapat merehatkan minda daripada kesibukan kerja.
Setiap kolam mempunyai tahap dan suhu panas yang berbeza selain fungsi dan kebaikan yang tersendiri. Foot Spa salah satu kolam air panas unik yang dipenuhi dengan batu kerikil berfungsi menghilangkan toksin melalui refleksologi kaki dan air panas semula jadi. Pengunjung juga pasti tidak mahu ketinggalan ke Top Of The World Pool iaitu kolam jakuzi yang menawarkan rawatan terapeutik dan urutan air untuk otot, sendi dan titik tekanan.
Terdapat banyak lagi kolam air panas untuk diteroka antaranya Steam Cave, The Geyser of Tambun, Crystal Pool dan Infinity Pool dibuka dari jam 6 petang sehingga 11 malam. Sebenarnya, dalam masa sehari tidak cukup untuk penulis meneroka semua tarikan yang ada dan tidak harianlah pengunjung pasti datang semula untuk menikmati keindahannya. Nak tahu? anda kena datang sendiri ke sini untuk merasai keseronokannya.
Menurut Mohd Firdauz, satu lagi tarikan terbaru yang bakal dibuka di LWOT ialah Taman Luminous Forest yang mengambil idea daripada filem box office Avatar. Taman ini akan dihiasi limpahan cahaya lampu berwarna-warni dan dekorasi unik yang membaluti pokok atau batu-batu disekelilingnya. Wow tentu hebat bukan!
Maka tidak hairanlah LWOT yang dibuka sejak Oktober 2004 sudah menerima lebih sejuta pengunjung dari dalam dan luar negara. Tarikan lain yang tidak kurang hebatnya termasuk Hippo Kingdom di mana anda boleh menyaksikan kehidupan badak air dari dekat dihabitat semula jadi yang disediakan dan jika mahu mengetahui lebih dekat sejarah Perak yang terkenal dengan perlombongan bijih timah, boleh singgah untuk cuba mendulang timah di Tin Valley.
Pengunjung juga berpeluang mengambil gambar di arca gajah yang pernah dijadikan pengangkutan utama untuk mengangkut bijih timah terletak berhampiran kawasan lombong.
Selepas penat ‘mendulang,’ pengunjung boleh singgah sebentar di Dulang Tea House dan menikmati minum petang dengan menu istimewa yang dihidangkan adalah ‘roti tumbuk’ dan ‘roasted rice tea’ yang dikatakan menjadi minuman tenaga kepada pekerja lombong bijih timah ketika itu.
Bagi penggemar kucing, Catopia adalah tarikan yang wajib dikunjungi kerana ia menampilkan kucing daripada pelbagai spesies berbeza dan melihat keletah kucing yang comel serta menghiburkan.
Selain itu, Lost World of Tambun turut menawarkan keseronokan lain, sesuai untuk seisi keluarga iaitu Tiger Valley, Team Building Park, Water Park, Petting Zoo, Amusement Park, Swan Lake dan Tin Valley. Air hangat atau dingin, terpulang kepada pengunjung, yang pastinya keseronokan di Lost World of Tambun memang tiada tandingannya dan penulis pasti kembali ke sini bersama keluarga.
Bagi mereka yang mahu menginap di sini, Lost World Hotel menyediakan 174 bilik penginapan daripada bilik asas mewah kepada bilik jenis premium yang turut meliputi dua tiket percuma ke Lost World Hot Springs & Spa pada waktu malam.
Anda lapar
Onsen Noodle House adalah restoran berkonsepkan makanan Jepun ini tampil berbeza dan unik dengan menggunakan air panas semulajadi sebagai tarikan. Anda cuma perlu memilih bahan mi udon dan perlu diletakkan dalam bekas khas sebelum dimasukkan dalam kolam air panas mini untuk direndam selama tiga minit sebelum memilih kuah yang diminati.
Selain mi udon, terdapat beberapa menu lain yang boleh dipesan antaranya garlic rice with piri-piri chicken. Jika mahukan kelainan seperti makanan pilihan warga Ipoh, boleh mencuba di Ipoh Street yang memberi pengalaman makan malam yang menyeronokkan. Lebih 20 pilihan makanan dan minuman tempatan disediakan seperti chee cheong fun, kacang putih dan mi sup. Menariknya, suasana dan hiasan yang diketengahkan iaitu rekabentuk bangunan kolonial membuatkan anda tidak mahu berganjak dari situ selain turut berpeluang merakam gambar sebagai kenangan.
Terdapat juga gerai makanan lain dengan pilihan makanan daripada nasi goreng sehingga makanan barat boleh dipilih di Kukuntalu Hawkers Food Court.
Kesimpulannya, LWOT bukan sahaja taman tema yang menarik untuk dikunjungi oleh seisi keluarga malah satu-satunya taman yang unik kerana menawarkan kolam mandi air panas dalam satu tempat yang sama.
Waktu Operasi: Isnin – Ahad (Tutup Pada Hari Selasa Kecuali Cuti Umum & Cuti Sekolah)
Hari Biasa: 11.00am – 6.00pm
Hari Minggu: 10.00am – 6.00pm
Website : www.sunwaylostworldoftambun.com
Lost World Hot Springs & Spa by Night
Untuk Warga Malaysia (Harga Tiket Untuk Hot Springs & Spa By Night)
Jenis Tiket | Harga (RM) |
---|---|
Dewasa (Umur 13 tahun dan ke atas) | RM35.75 ( |
Kanak-kanak (Umur 12 tahun dan ke bawah) | RM30.55 ( |
Warga Emas (Umur 60 tahun dan ke atas) | RM30.55 ( |
Untuk Pelancong Asing
Jenis Tiket | Harga (RM) |
---|---|
Dewasa (Umur 13 tahun dan ke atas) | RM49.50 ( |
Kanak-kanak (Umur 12 tahun dan ke bawah) | RM42.30 ( |
Warga Emas (Umur 60 tahun dan ke atas) | RM42.30 ( |
Waktu Operasi:
Hari Biasa: 6.00pm – 11.00pm
Hari Minggu: 6.00pm – 11.00pm