Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) hari ini mengumumkan keputusan kewangannya bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (“S2”), dengan mencatatkan peningkatan berterusan tahun ke tahun apabila agenda transformasinya terus menunjukkan kemajuan dalam persekitaran operasi yang mencabar.

Bagi S2 2026, hasil Kumpulan meningkat 9.0% tahun ke tahun kepada RM481.3 juta, manakala kerugian sebelum cukai berkurangan kepada RM41.8 juta. Aliran tunai operasi bersih kembali positif pada RM18.3 juta bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 berbanding aliran keluar bersih RM64.6 juta dalam tempoh yang sama tahun kewangan 2025, mencerminkan kemajuan ketara daripada program transformasi berterusan Kumpulan.

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2026, hasil meningkat 8.2% kepada RM982.7 juta, manakala kerugian sebelum cukai berkurangan sebanyak 30.6% kepada RM55.4 juta. Prestasi yang lebih baik ini disokong oleh momentum positif merentas semua segmen perniagaan, pertumbuhan jumlah bungkusan yang lebih kukuh, peningkatan sumbangan daripada Pos Aviation dan Pos Logistics, serta pertumbuhan daripada perniagaan lain Kumpulan termasuk pensijilan digital, perkhidmatan data dan Pos Ar-Rahnu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, suku kedua menunjukkan bahawa usaha gigih kami untuk mentransformasikan Pos Malaysia sedang membuahkan hasil yang nyata.

“Kami mencatatkan pertumbuhan hasil, mengurangkan kerugian dan menjana aliran tunai operasi yang positif, sambil terus memperkukuh asas perniagaan kami. Walaupun pasaran kekal mencabar, fokus kami jelas: mengurus perniagaan dengan berdisiplin, meningkatkan mutu perkhidmatan dan produktiviti, serta membina Pos Malaysia yang lebih mampan untuk terus berkhidmat kepada rakyat Malaysia.”

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini