Kebanyakan peminat bola sepak menganggap waktu rehat separuh masa sebagai satu tempoh berehat. Namun, pakar diet prestasi sukan yang bekerja dengan atlet elit, berpandangan ia sebagai tempoh penting untuk pengambilan nutrisi sepanjang perlawanan.

Pandangan tersebut disokong jelas oleh sains. Atlet boleh kehilangan antara satu hingga tiga liter peluh bagi setiap jam latihan. Malah, penurunan hanya 2% berat badan akibat kehilangan cecair sudah cukup untuk menjejaskan prestasi secara ketara — termasuk larian yang lebih perlahan, kawalan bola yang kurang baik, masa tindak balas yang lebih lambat serta peningkatan rasa keletihan semasa beraksi.

Kehilangan 4% berat badan pula boleh membawa kesan yang lebih serius dan mungkin memerlukan rawatan perubatan. Sebagai konteks, seorang atlet seberat 180 paun hanya perlu kehilangan kurang daripada empat paun, atau kira-kira 1.8 kilogram peluh, untuk mencapai ambang kehilangan 2% tersebut. Jumlah itu sebenarnya tidak banyak dalam perlawanan selama 90 minit yang berlangsung dalam keadaan cuaca panas.

Risiko ini lebih ketara di Malaysia, di mana cuaca panas dan lembap menyukarkan pemain bola sepak menyejukkan badan sepanjang perlawanan. Inilah sebabnya mengapa tempoh 15 minit pada waktu rehat separuh masa bukan sekadar waktu berehat.

Sebaliknya, ia merupakan tempoh penting untuk pemain mendapatkan semula tenaga dan nutrisi yang diperlukan bagi menghadapi separuh masa kedua.

Apa yang Sebenarnya Terkandung dalam Peluh, dan Mengapa Ia Penting

Menurut Pengarah Prestasi Sukan dan Pendidikan Pemakanan Herbalife, Dr. Krissy Ladner, “Perkara pertama saya terangkan kepada atlet ialah peluh bukan sekadar air. Peluh terdiri daripada air dan elektrolit — terutamanya natrium (sodium) dan klorida (yang bersama-sama membentuk garam), selain kalium (potassium), magnesium dan kalsium.

Setiap mineral ini memainkan peranan khusus dalam memastikan tubuh kekal berfungsi dengan baik dan
membolehkan anda terus beraksi sepanjang perlawanan.”

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini