Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC) dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh ekosistem pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) negara melalui pelaksanaan Program Pemindahan Ilmu Nanosains yang memberi penekanan kepada pendedahan awal teknologi nano dalam kalangan pelajar sekolah.
Ketua Penolong Pengarah, Pusat Nanoteknologi Kebangsaan, Ismarul Nizam Ismail berkata,
program itu merupakan inisiatif strategik melibatkan NNC, Kementerian Sains,
Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta UPSI dalam usaha memperluaskan akses ilmu
nanosains dan nanoteknologi kepada generasi muda sebagai persediaan menghadapi cabaran
teknologi masa hadapan.
Beliau berkata, program pemindahan ilmu tersebut merupakan platform penting dalam
memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan kerajaan bagi membudayakan
sains, teknologi dan inovasi dalam kalangan masyarakat.
“Seiring dengan aspirasi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 serta Dasar dan Strategi Nanoteknologi Negara (DSNN) 2021–2030, MOSTI komited untuk memperluaskan akses kepada ilmu pengetahuan dan teknologi terkini melalui pendekatan
kolaboratif melibatkan akademia, industri, kerajaan dan masyarakat,” katanya ketika
merasmikan Program Pemindahan Ilmu Nanosains NNC-UPSI di Dewan SITC, Kampus
Sultan Abdul Jalil Shah, baru-baru ini.
Ismarul Nizam berkata, UPSI melalui kepakaran akademik dan penyelidikannya turut giat
meneroka pelbagai bidang berkaitan nanosains termasuk aplikasi nanobahan dalam
pendidikan, sains bahan, tenaga, alam sekitar serta pembangunan inovasi berasaskan
teknologi maju.
Beliau berkata, kerjasama strategik antara NNC dan UPSI dilihat sebagai pemangkin kepada
pembangunan modul serta aktiviti pembelajaran STEM berteraskan nanosains di peringkat
sekolah, sekali gus memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai aplikasi teknologi
dalam kehidupan seharian.
“Pendekatan pembelajaran berasaskan eksperimen, demonstrasi makmal, kit pendidikan
nanosains serta aktiviti inovasi berpotensi melahirkan lebih ramai pelajar berminat dalam
bidang STEM dan menyokong agenda pembangunan bakat teknologi negara,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof. Dr. Suriani
Abu Bakar berkata penganjuran program tersebut membuktikan keyakinan NNC terhadap
keupayaan universiti itu dalam membangunkan ekosistem pendidikan sains dan teknologi
yang berimpak tinggi.
Beliau berkata, NNC telah menganugerahkan dana berjumlah RM35,706.96 kepada UPSI
melalui Pusat Latihan Mengajar dan Industri (PuLaMI) bagi menjayakan program berkenaan,
yang turut disokong oleh Pusat Nanoteknologi dan Fakulti Sains dan Matematik UPSI.





































