Keindahan seni tradisi mewarnai pentas apabila program Malam Alunan Hikayat: Drama Tari berjaya dianjurkan dengan penuh gemilang di Panggung Budaya, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program anjuran Exco Warisan, Seni dan Budaya, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar sesi 2025/2026 ini menjadi wadah istimewa dalam mengetengahkan keunikan warisan budaya Nusantara melalui pendekatan seni persembahan yang kreatif dan menyentuh jiwa.

Bertemakan penghayatan hikayat, program ini memberi peluang kepada para peserta untuk mengekspresikan bakat dan kreativiti mereka melalui gabungan elemen drama, tarian dan muzik yang diolah secara naratif.

Setiap persembahan bukan sekadar ok ko hiburan, malah sarat dengan nilai budaya, mesej moral serta refleksi sosial yang berjaya menyentuh emosi para penonton. Gerak tari yang puitis, lakonan yang penuh penghayatan serta iringan muzik yang memukau menjadikan setiap segmen persembahan tampil hidup dan berkesan.

Program ini diisi dengan penyertaan pelajar yang menampilkan karya berinspirasikan hikayat dan warisan budaya Nusantara, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian interpretasi seni dalam kalangan generasi muda.

Pertandingan ini telah disertai oleh beberapa kumpulan utama iaitu Kumpulan Kesenian Negeri Pahang (KKNP) yang membawa persembahan tentang “Luka Empayar Sunyi” yang mengisahkan tentang cinta, pengorbanan dan kesetiaan yang mendalam, digabungkan dengan konflik antara kebaikan dan kejahatan dalam suasana epik dan tragis.

Kumpulan Citra Arjana daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula membawa persembahan “ritual Ulek Mayang” yang mengisahkan tentang kepercayaan rakyat dahulu tentang makhluk laut, puteri kayangan dan amalan bomoh dalam menyembuhkan gangguan makhluk halus.

Wakil tunggal antarabangsa, Universitas Pendidikan Indonesia pula menyajikan rentak drama tari luar biasa yang menceritakan keindahan anak kecil bermain permainan tradisional dengan irama lagu yang sangat merdu. Kelainan yang dibawa dapat dipelajari mahasiswa UPSI dengan gabungan nusantara yang sangat menarik.

Setiap kumpulan mempersembahkan keunikan gaya dan identiti budaya tersendiri. Keunikan setiap persembahan jelas menggambarkan usaha berterusan dalam memelihara serta memartabatkan seni tradisional agar terus relevan dalam arus moden.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini