Selaras dengan komitmen jangka panjang untuk mengukuhkan ekosistem Halal Malaysia dan memupuk bakat yang sedia menghadapi masa depan, Nestlé Malaysia baru-baru ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kulliyyah Sains, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan, dengan matlamat memajukan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik
(STEM) Halal.
MoU ini menandakan langkah bermakna untuk merapatkan jurang antara industri dan dunia akademik, dengan kedua-dua pihak berpegang pada matlamat bersama untuk melengkapkan anak-anak muda Malaysia dengan kemahiran yang membolehkan mereka menceburi kerjaya dalam industri Halal yang sedang berkembang pesat.
Majlis tandatangan tersebut telah diadakan di Ekspo STEM Halal, UIAM Kampus Kuantan, dengan penyertaan 500 peserta yang mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan dari seluruh negeri Pahang.
Kerjasama ini membabitkan pembangunan modul pendidikan oleh UIAM Kuantan dengan sokongan daripada Nestlé Malaysia, di samping pertandingan amali untuk memberikan pengalaman dunia sebenar kepada pelajar yang turut serta.
Sebagai inisiatif utama di bawah MoU, Ekspo STEM Halal melibatkan eksperimen interaktif, membuka reruai pameran serta mengadakan pelbagai pertandingan dan perkongsian yang menarik.
Selain daripada program bertumpukan kepada pelajar, MoU tersebut juga menggariskan bidang-bidang kerjasama lebih luas antara kedua-dua pihak. Antaranya termasuk penyelidikan bersama dalam bidang sains Halal dan inovasi berkaitan makanan, sesi perkongsian ilmu dan juga penyertaan dalam persidangan, bengkel dan penerbitan.
Menerusi pelbagai inisiatif ini, Nestlé Malaysia dan UIAM bertekad untuk mengukuhkan hubungan antara industri dan dunia akademik, mendorong inovasi dan membangunkan rangkaian bakat Halal masa depan bagi Malaysia.





































