Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, telah menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan pembangunan kepimpinannya dengan penganjuran majlis graduasi melibatkan seramai 2,434 pemimpin di bawah Program Kepimpinan Pos Wira yang julung kali diperkenalkan.
Majlis graduasi dimulakan di Pos Centre of Development (PosCODE) dan dilaksanakan dengan kerjasama Malaysian Institute of Management (MIM), dengan para graduan dianugerahkan Sijil Profesional dalam Kepimpinan dan Pengurusan melalui kaedah Recognition of Prior Experiential Learning (RPL).
Majlis graduasi tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Syed Faisal Albar, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Charles Brewer, mencerminkan komitmen jangka panjang Kumpulan untuk memperkukuh keupayaan kepimpinan di setiap peringkat organisasi — daripada peranan eksekutif hinggalah ke barisan hadapan operasi.
Walaupun majlis ini meraikan pembangunan kepimpinan dalam skala besar, ia turut membawa makna peribadi yang mendalam kepada ramai graduan. Antaranya ialah barisan hadapan yang telah lama berkhidmat dan buat pertama kalinya menerima pengiktirafan awam selepas puluhan tahun mencurah bakti — berdiri di atas pentas, dengan mengenakan jubah graduasi, dalam satu detik yang tidak pernah mereka bayangkan sebelum ini.

Bagi Muzafar Lockman, Ketua Zon, Pusat Penghantaran Balakong, yang telah berkhidmat selama 23 tahun bersama Pos Malaysia, majlis tersebut merupakan pengalaman pertama beliau menerima pengiktirafan rasmi dalam situasi yang begitu bermakna.
“Ini merupakan kali pertama dalam tempoh 23 tahun perkhidmatan saya di Pos Malaysia, saya
diiktiraf dengan cara sebegini. Saya tidak pernah membayangkan diri saya berdiri di atas pentas
sambil mengenakan jubah graduasi,” katanya.
“Ia merupakan detik yang sangat menyentuh perasaan. Penerimaan sijil ini amat bermakna kerana ia mengiktiraf kemahiran kepimpinan, pengetahuan serta pengalaman yang telah saya bina selama ini. Ia membuatkan segala kerja keras dan tanggungjawab yang saya pikul benar-benar dihargai, dan saya amat berterima kasih atas pengiktirafan ini.”




































