Susulan maklum balas terkini daripada Universiti HELP mengenai siasatan yang sedang dijalankan, AmanahRaya-Kenedix REIT Manager Sdn Bhd, Pengurus bagi AmanahRaya Real Estate Investment Trust (AmanahRaya REIT) ingin memberikan kemas kini lanjut berhubung insiden di Universiti Help, Bukit Damansara.
Sepertimana diumumkan sebelum ini pada 12 Januari 2026, AmanahRaya REIT telah bertindak pantas dengan mengambil langkah-langkah proaktif bagi memudahkan penilaian menyeluruh terhadap kawasan terjejas dan struktur sekitarnya, termasuk pelantikan pasukan forensik bebas, serta mengesahkan kerjasama penuhnya dengan pihak berkuasa yang berkenaan, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta perkhidmatan kecemasan.
Langkah-langkah ini diambil bagi menyokong proses pencarian fakta yang telus, profesional, dan menyeluruh.
Selari dengan itu, AmanahRaya REIT sedang bekerjasama rapat dengan Universiti HELP bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua individu yang terkesan akibat insiden tersebut kekal sebagai keutamaan tertinggi, dan langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya dilaksanakan mengikut piawaian profesional dan kawal selia.
AmanahRaya REIT mengambil maklum dan selari sepenuhnya dengan pendirian pihak berkuasa bahawa siasatan masih berjalan dan tiada kesimpulan yang telah dicapai pada peringkat ini. Sehubungan itu, AmanahRaya REIT menyokong proses penyiasatan dan akan terus memberikan kerjasama penuh sehingga semua penemuan disahkan dan dimuktamadkan.
Sebagai pemilik hartanah, AmanahRaya REIT bekerjasama rapat dengan Universiti HELP dan pengurus hartanah yang dilantik, Knight Frank Malaysia Sdn. Bhd., bagi memudahkan pemeriksaan keselamatan, penilaian risiko dan langkah-langkah pencegahan yang perlu di premis yang terjejas.
Langkah-langkah ini merupakan sebahagian daripada peranan berterusan AmanahRaya REIT dalam menyokong persekitaran kampus yang selamat dan terjamin, dengan kerjasama Universiti HELP dan pihak berkuasa berkaitan, dengan objektif bersama untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar, kakitangan serta pelawat.
Ini termasuk semakan dan pelaksanaan penyelenggaraan rutin serta protokol keselamatan sebagai sebahagian daripada amalan pengurusan aset yang berhemah. Ingatan kami sentiasa bersama mereka yang terkesan akibat insiden ini.
AmanahRaya REIT kekal komited untuk menyokong Universiti HELP dan komuniti kampus sepanjang tempoh ini, dan memastikan semua tindakan yang diambil berpandukan penilaian profesional dan keperluan kawal selia. AmanahRaya REIT akan memberikan kemas kini lanjut apabila maklumat yang disahkan tersedia, selaras dengan penyelesaian siasatan dan penilaian bebas.


































