Festival Filem dan Anugerah Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2025 bakal kembali dengan edisi ketujuh yang dijadual berlangsung di Kuching, Sarawak dari 12 hingga 15 November 2025.

Delegasi dan peminat filem akan disajikan dengan pelbagai aktiviti berkaitan dunia perfileman yang akan memuncak pada Malam Gala AIFFA, di mana filem-filem terbaik daripada 10 negara ASEAN akan bersaing merebut trofi AIFFA yang berprestij.

Pengarah Festival AIFFA, Livan Tajang berkata, festival yang mula dianjurkan pada tahun 2013 ini menghimpunkan kira-kira 300 penggiat industri perfileman Asia Tenggara, termasuk penerbit, pengarah, pelakon serta kru di ibu negeri Sarawak.

AIFFA kini menjadi platform penting untuk para pembikin filem membina jaringan, meneroka perkembangan industri kreatif terkini serta meraikan malam anugerah yang penuh gemilang.

 

Katanya, sebanyak 200 penyertaan filem telah diterima daripada negara-negara ASEAN dengan Malaysia mendahului sebanyak 90 penyertaan, diikuti oleh Indonesia dan Filipina.

“AIFFA 2025 memperkenalkan Anugerah Dokumentari Borneo, sebuah trek pertandingan baharu yang memberi penghormatan kepada penceritaan bukan fiksyen yang berakar umbi di Borneo dan Malaysia Timur.

“Terdapat tiga anugerah utama di bawah Anugerah Dokumentari Borneo iaitu Anugerah Dokumentari Ciri Borneo Terbaik AIFFA 2025, Anugerah Dokumentari Pendek Terbaik Malaysia Timur AIFFA 2025 dan Anugerah Merit Khas, pembikin filem Borneo akan berpeluang mempamerkan karya mereka dengan menonjolkan banyak keajaiban budaya, tradisional, geografi di kepulauan ini” tambahnya kepada Malaysianews TV.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata jumlah penyertaan yang tinggi itu menunjukkan peningkatan populariti AIFFA dalam kalangan pembikin filem rantau ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada barisan juri AIFFA 2025 yang diketuai oleh U-Wei Haji Saari, bersama Herman Van Eyekeni (Belgium), Mohanad Hayal (Iraq), Embi C. Noer (Indonesia) dan Nik Amir Mustapha (Malaysia).

“Apabila festival seperti AIFFA dianjurkan, ramai artis, penerbit dan kru produksi dari seluruh ASEAN akan datang ke Sarawak.

“Kehadiran mereka membantu industri pelancongan, di samping memperkenalkan Sarawak sebagai pusat seni dan budaya serantau.

“Meskipun industri perfileman di Sarawak masih kecil berbanding Kuala Lumpur, Jakarta dan Bangkok, (penganjuran ini merupakan) antara usaha kami memperkukuh sektor pelancongan dan kreatif melalui program bertaraf antarabangsa,” katanya.

AIFFA 2025 menjanjikan program lebih menarik dengan pelbagai aktiviti di lokasi-lokasi ikonik seperti The Spring Mall, Muzium Budaya Borneo, Tebingan Kuching dan Hotel Pullman.

Selain itu, turut diadakan pameran filem, galeri seni, bazar kraftangan serta sesi bual filem di ruang acara The Spring Mall, selain sesi ramah mesra bersama selebriti ASEAN.

AIFFA 2025 bakal menerima kehadiran ramai tetamu antarabangsa termasuk Simon Yam, pelakon prolifik dari Hong Kong, serta Lav Diaz, pengarah ternama dari Filipina.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah (tiga, kanan) melancarkan Majlis Pelancaran Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2025 Kuala Lumpur di Bangunan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), di sini, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac (tiga, kiri), Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib (kanan) dan Pengarah AIFFA, Livan Tajang (dua, kanan)

Simon Yam dijadual menghadiri sesi ramah mesra bersama peminat pada 15 November, disusuli dengan pelayaran singkat di Sungai Sarawak dan sidang media. Beliau akan bertemu peminat di Godown Amphitheatre, Tebingan Kuching pada jam 4.00 petang.

Kemuncak festival ialah Malam Gala AIFFA yang akan berlangsung di Colosseum, Hotel Pullman Kuching. Majlis akan menampilkan persembahan daripada bintang-bintang ASEAN seperti Ruth Sahanaya, Dato’ M. Nasir, Vince Chong dan Mimifly.

Majlis yang turut disiarkan secara langsung di TVS itu akan menyaksikan penganugerahan AIFFA Awards untuk penyertaan terbaik 2023–2024, Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat (Lifetime Achievement Award) dan ASEAN Inspiration Award.

Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac serta para penggiat filem tempatan.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini