Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia terus memperkukuh peranan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menganjurkan Program Tautan Kasih 2026 : ‘Shopping Raya’ bersama Anak-Anak Pertubuhan Kebajikan Dan Perlindungan Nur Qaseh Malaysia pada 10 Mac 2026, sebagai persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

Program yang merupakan aktiviti tahunan itu berlangsung di Jakel Mall melibatkan 25 Anak-Anak Pertubuhan Kebajikan Dan Perlindungan Nur Qaseh Malaysia dari Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Bagi tahun ini Anak-Anak Pertubuhan Kebajikan Dan Perlindungan Nur Qaseh Malaysia dapat memilih pembelian sepersalinan kelengkapan raya sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutif SEDA Malaysia, Dato’ Hamzah Hussin berkata, program ini dianjurkan bagi berkongsi kegembiraan serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Program ini bertujuan memupuk dan menghidupkan amalan bersedekah dalam bulan yang penuh keberkatan.

“Sepanjang Ramadan, pihak kami berbesar hati untuk turun padang bagi menyantuni golongan yang memerlukan dan inisiatif berkenaan dapat memberi manfaat secara terus kepada penerima seperti program ‘Shopping Raya’ ini,” katanya.

Katanya, SEDA Malaysia turut menyediakan sumbangan berbentuk ‘goodies’ serta duit raya dan sumbangan ini diharapkan dapat meringankan beban golongan penerima dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, sekali gus membawa keceriaan kepada mereka semua.

Dalam program ini, Kumpulan Jakel juga turut bekerjasama dengan SEDA Malaysia dengan pemberian sumbangan serta pemberian duit raya yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel kepada anak-anak Pertubuhan Kebajikan Dan Perlindungan Nur Qaseh Malaysia.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi SEDA Malaysia, Koh Keng Sen, Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Nizam Mohamed Jakel dan Ketua-Ketua Bahagian SEDA Malaysia.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini