Volvo EC40, SUV crossover pertama Volvo yang ditawarkan hanya sebagai model elektrik, kini boleh didapati dalam varian single motor untuk tahun model 2026. Harga jualan disyorkan (RRP) ditetapkan pada RM248,888, iaitu lebih rendah RM40,000 berbanding RRP varian twin motor sedia ada.

Varian single motor ini datang dengan spesifikasi Ultra paling tinggi. Ia menggunakan motor elektrik magnet kekal generasi kedua yang dibangunkan sendiri oleh Volvo, dipasang di gandar belakang.

Motor ini menghasilkan 175 kW (238 hp) dan mampu memecut EC40 dari pegun ke 100 km/j dalam 7.3 saat. Bateri yang digunakan ialah pek voltan tinggi 70 kWh, membolehkan jarak pemanduan sehingga 488 km (WLTP).

Dengan pengecasan pantas DC, bateri boleh dicas dari 10% ke 80% dalam 26 minit 3 sahaja. Warna baharu Sand Dune ditawarkan buat kali pertama pada EC40, menampilkan tona metalik hangat dengan kesan berkilau di bawah cahaya matahari – diinspirasikan daripada bukit pasir di pesisir barat Sweden.

Warna ini mula diperkenalkan pada EX90 model tahun 2025, dan kini menjadi pilihan bersama Aurora Silver, Onyx Black dan Crystal White. Bahagian kabin pula bebas kulit, digantikan dengan balutan Charcoal Connect suede textile dan Charcoal Microtech untuk rasa lebih premium serta mesra alam.

Panel papan pemuka dan pintu kini ditambah kemasan Cutting Edge, memberikan imej lebih moden dan tajam. EC40 single motor juga menerima sistem antaramuka generasi baharu yang mula diperkenalkan pada EX30.

Rekaan ini lebih ringkas serta mesra pengguna – kurang tekan skrin untuk akses fungsi utama. Paparan dipertingkatkan pada skrin tengah 9 inci (Google built-in) dan paparan pemandu 12.3 inci.

Chris Tan, Pengarah Jualan Volvo Car Malaysia berkata: “Sebagai model elektrik sepenuhnya yang kedua yang kami tawarkan di Malaysia, serta crossover pertama dalam barisan BEV Volvo, EC40 menyerlah dengan rekaan Skandinavia moden yang diinspirasikan era elektrik.

“Disebabkan permintaan pelanggan, kami kini tawarkan pilihan single motor dan twin motor untuk memenuhi pelbagai keperluan serta tahap komitmen pemilikan.”

Sejak dilancarkan, EC40 menonjol dalam segmen SUV kompak Volvo dengan ketinggian
tunggangan yang memberi keyakinan, roda besar bersama arca fender yang tegas, serta
bumbung landai dengan lampu belakang berbentuk unik yang menyerlahkan gaya sporty.

Seperti semua model Volvo lain, EC40 dilengkapi pakej penuh Safe Space Technology
termasuk sistem bantuan pemandu terkini, teknologi elak pelanggaran, dan struktur badan diperkukuh untuk melindungi penumpang serta pengguna jalan raya lain.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini