Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) memeterai kerjasama strategik, dengan fokus utama untuk mempertingkat kesedaran awam mengenai kepentingan berzakat, di samping memperhebat amalan wakaf sebagai instrumen yang menyumbang kepada kesejahteraan umat Islam pada 6 Ogos 2025.
Majlis menandatangani Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara kedua agensi tersebut diadakan di ibu pejabat PPZ-MAIWP.
Menerusi MoU ini, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan berkaitan zakat dan wakaf tunai, juga perkongsian kepakaran dalam penyediaan perkhidmatan lain yang dapat memberi nilai tambah kepada pelanggan oleh PPZ-MAIWP.
Ini termasuk perkhidmatan rundingan zakat dan wakaf tunai secara fizikal dan dalam talian, penyediaan kaunter zakat bergerak dan digital, serta tawaran Kad Setia di Hospital Pusrawi kepada pelanggan AmanahRaya yang membayar zakat harta sekurang-kurangnya RM10,000 setahun.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Haji Abdul Hakim Amir Osman berkata, MoU yang dimeterai ini telah membuka lembaran baharu dalam usaha memperluaskan dakwah zakat dan wakaf.
“MoU ini bukan sekadar dokumen formal, ianya mencerminkan kesungguhan kedua-dua pihak untuk mengembleng tenaga, menyusun strategi dalam menyampaikan perkhidmatan yang lebih holistik dan mesra pengguna kepada masyarakat.
“Kerjasama strategik ini membawa objektif dan matlamat yang jelas serta signifikan sekaligus membuka peluang kepada pelanggan kedua-dua pihak untuk menikmati manfaat dan perkhidmatan yang ditawarkan secara bersama,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya Berhad, Ahmad Feizal Sulaiman Khan turut menyatakan bahawa kerjasama ini merupakan contoh terbaik kolaborasi strategik antara agensi zakat dan pengurusan harta pusaka di Malaysia.
Ia bukan sekadar memudahkan urusan pembayaran zakat, tetapi juga membawa visi lebih besar ke arah membina ekosistem ekonomi Islam yang kukuh, mampan dan progresif. Melalui inisiatif ini, potensi agihan zakat dapat dioptimumkan, pengurusan harta dapat diperstruktur dengan lebih efisien dan kesejahteraan umat Islam dapat ditingkatkan.

































