Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melakar peristiwa penting hari ini dengan sempurnanya majlis pecah tanah Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) di Bandar Sultan Suleiman, sekali gus menandakan permulaan projek pembangunan Laman Lestari.

Upacara dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mahmud Abbas.

Amirudin turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PKNS dengan Inter Great Sdn Bhd serta PKNS FM Integrated Sdn Bhd bagi mengukuhkan lagi komitmen perbadanan untuk memupuk persekitaran hidup yang berkualiti dan mampan bagi pekerja migran di Selangor.

Mahmud berkata, komitmen PKNS tidak berbelah bahagi dalam memupuk persekitaran hidup yang sihat dan mampan untuk pekerja migran di Selangor.

“Majlis pecah tanah Laman Lestari di Bandar Sultan Suleiman ini menandakan peristiwa penting dalam merealisasikan visi serta strategi PKNS ke arah memastikan kebajikan dan kesejahteraan hidup pekerja-pekerja ini dapat dipertingkatkan,” katanya.

Sebagai nadi perancangan jangka panjang PKNS bagi menyediakan penginapan yang berkualiti bagi pekerja-pekerja migran ini, CLQ di Bandar Sultan Sulaiman ini dijangka dapat meningkatkan taraf kehidupan mereka. Projek ini dijangka siap dalam tempoh tiga tahun, dengan tarikh penyerahan projek pada 2024 dan sijil siap diperoleh pada 2028.

Pembinaannya meliputi kawasan tanah seluas 4.35 ekar dan mempunyai 336 unit yang dilengkapi perabot serta kemudahan asas seperti lampu, kipas, dapur elektrik, meja, kerusi, katil, tilam, bantal dan almari berkunci.

Setiap unit CLQ dilengkapi tiga bilik tidur, satu bilik air dan tempat makan yang khusus. Selain itu, ia juga dilengkapi pelbagai kawasan awam termasuk medan selera, surau dan ruang terbuka yang luas untuk aktiviti dalaman bagi memastikan kesejahteraan pekerja.

Laman Lestari mempunyai kapasiti untuk menempatkan 5,712 individu dengan jumlah maksimum 17 penghuni bagi setiap unit, yang mana pembinaannya dianggarkan menelan belanja sebanyak RM120 juta.

Demi mengutamakan kebajikan pekerja migran ini, kesemua unit CLQ akan disewakan dengan anggaran yuran bulanan berjumlah RM350 seorang. Pendekatan sewaan ini sejajar dengan komitmen PKNS terhadap strategi jangka panjang untuk mengekalkan CLQ dan memastikan kelestariannya.

PKNS menyokong Agenda Nasional selaras dengan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) iaitu menyediakan CLQ yang mencukupi di Selangor.

“Dengan terbinanya CLQ di Bandar Sultan Suleiman, PKNS secara strategiknya telah memenuhi keperluan pekerja industri di kawasan ini yang menjadi aset kepada pembangunan industri Selangor. Ketiadaan penginapan pekerja yang khusus di
kawasan ini menyebabkan pekerja tinggal secara berselerak di pangsapuri serta flat
berhampiran, dan inisiatif ini bertujuan menangani isi tersebut dengan berkesan.