Food Market Hub dan Supplybunny, dua penyedia solusi terkemuka bekalan makanan dan minuman (F&B) di Malaysia melancarkan program pembiayaan tersedia perniagaan-ke-perniagaan (B2B) yang pertama di Malaysia.
Kerjasama tiga pihak berkenaan menyaksikan Food Market Hub menghubungkan 3,000 pengusaha F&B dimilikinya dengan 800 pembekal di Supplybunny menerusi penyelesian bersepadunya yang ditunjangi oleh Funding Societies, suatu platform pembiayaan digital PKS bersepadu terbesar di Asia Tenggara. Ini membolehkan pengusaha F&B menerima pesanan inventori daripada pembekal dalam ekosistem.
Setelah menerima penghantaran, pengendali F&B terus mempunyai pilihan untuk menangguhkan pembayaran sehingga 30 hari. Pembiayaan tersedia berkenaan membolehkan pembekal menerima bayaran selepas memenuhi pesanan inventori.
Menerusi inisiatif yang inovatif ini, pengusaha dan pembekal F&B – kebanyakannya adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) – boleh menguruskan aliran tunai mereka dengan lebih baik.
Di samping itu, pengusaha F&B juga akan mendapat manfaat daripada pengurusan modal kerja dan modal pusingan mereka yang lebih baik kerana mereka boleh memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan atau mengembangkan perniagaan masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Food Market Hub, Anthony See, berkata, “Industri F&B Malaysia diunjurkan untuk menyumbang sebanyak RM35.2 bilion kepada KDNK negara.
Dalam pada itu, dianggarkan pertumbuhan sebanyak 22% direkodkan bagi 2022 dan sebanyak 8% lagi tahun ini. Meskipun tahun ini kelihatan optimis, kita perlu bersedia untuk menghadapi kemungkinan kemelesetan ekonomi.
Dalam situasi sedemikian, aliran tunai yang dimiliki oleh PKS dapat membantu, justeru mereka boleh melaburkannya semula dari segi pemasaran atau menambah baik pengalaman pelanggan. Kami mahu membantu pengusaha restoran berjaya dalam industri F&B yang kompetitif.”
Restoran dan pengusaha F&B yang berjaya bakal memperoleh:
- Pembiayaan tanpa cagaran;
- Kemudahan pembiayaan sehingga RM50,000;
- Pemprosesan pantas dalam tempoh 14 hari;
- Keperluan dokumentasi minimum sewaktu permohonan.
“Kami berjaya melaksanakan projek perintis selama beberapa bulan ini yang membabitkan pembekal barangan sejuk dan segar, dan kami kini bersedia untuk melancarkan program dalam skala lebih besar.
“Kami teruja mengenai kesan inisiatif ini terhadap perkhidmatan makanan vertikal di Malaysia – secara khususnya penambahbaikan kecekapan aliran tunai yang memudahkan perolehan bekalan tepat pada masanya dan mengurangkan tekanan pada rantaian bekalan. Faedahnya pula, ia akan menyumbang kepada polisi jangka pendek dan sederhana membabitkan keselamatan makanan di Malaysia,” tambah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Supplybunny, Tham Keng Yew.
Program pembiayaan B2B berkenaan merupakan pencapaian besar bagi Food Market Hub dan Supplybunny kerana ia menandakan kerjasama pertama mereka bersama platform pembiayaan digital terkemuka dan sebahagian daripada komitmen bersama mereka untuk menyokong pertumbuhan dan pembangunan PKS Malaysia, secara khususnya industri F&B.
Ketua Negara Funding Societies Malaysia, Chai Kien Poon berkata, “Akses kepada modal ternyata penting kepada PKS dalam sektor F&B kerana mereka berusaha untuk memenuhi permintaan pelanggan yang kian meningkat selepas pandemik dan membantu mereka meningkatkan operasi mereka.
Justeru, mendapatkan akses pembiayaan yang mudah dan secara terus sememangnya penting. Menerusi kerjasama dengan Food Market Hub dan Supplybunny, Funding Societies dapat membantu dan menilai PKS yang layak kredit dan kurang mendapat perkhidmatan dalam industri F&B.”



































