Kehadiran peranti baharu dalam siri Samsung Galaxy A ini sememangnya amat dinanti-nantikan peminat peranti kelas pertengahan sentiasa mahukan kelainan setiap kali diperkenalkan di pasaran.
Apa yang menarik pada peranti Galaxy A54 5G ini ialah rekaan luarannya seakan mirip peranti premium S23 cuma peranti ini tidak mempunyai permukaan rata sebagaimana model S23 yang terasa selesa di genggam di tangan.
Prebiu.com sekali lagi terpilih menjadi antara media pertama oleh Samsung Malaysia untuk menguji peranti pintar inovatif Galaxy A54 ini sebelum dilancarkan secara rasmi kepada umum.
Tambahan terkini kepada siri Galaxy A yang popular ini membolehkan pengguna merakam video yang mantap, menatap kandungan paparan dengan jelas walaupun dalam keadaan pencahayaan yang terlampau terang.

Selain itu, hayat bateri peranti ini sebesar 5000 mAh juga menjangkaui tempoh penggunaan lebih daripada dua hari.
Rekaan
Bingkai logam peranti ini digabungkan dengan panel kaca di belakang dan hadapan manakala butang kuasa dan laras audio hanya dibaris kanan kelihatan ringkas serta bergaya.
Samsung Galaxy A54 5G hadir dengan skrin bersaiz 6.4 inci Super AMOLED FHD+ (1080 x 2340), Infinity-O Display dan kadar segar semula 120 Hz.
Pada pandangan mata kasar penulis, kemasan pada peranti yang berukuran 158.2 x 76.7 x 8.2 mm ini lebih ringkas dan minimalis bersama penggunaan satu tona warna penuh secara menyeluruh seakan sebuah peranti untuk golongan muda yang aktif.

Bagaimanapun, rekaan panel belakang yang licin mudah dibersihkan namun untuk mengelakkan daripada memerangkap kekotoran, dicadangkan pengguna membeli segera kerangka peranti ini bagi melindunginya kerana pada kali ini Samsung tidak membekalkan kerangka percuma pada setiap pembelian.
Peranti seberat 202 gram ini ditawarkan dalam empat pilihan warna berbeza yang menarik – iaitu Awesome Lime, Awesome Violet, Awesome Graphite dan Awesome White. Memang Ohsemkan!
Susun atur butangnya adalah standard dimana, butang kuasa dan laras suara hanya diletakkan pada bahagian sisi kanan manakala terdapat satu lubang mikrofon dan slot untuk SIM pada bahagian atas.
Ruangan ini menyokong slot dwi-sim namun ia direka berasaskan hibrid melalui slot Nano-SIM (SIM1) + Nano-SIM/microSD (SIM2).

Peranti ini disambungkan dengan port USB-C pada bahagian bawah dengan lubang mikrofon dan juga pembesar suara. Lebih menariknya di sini, pembesar suaranya adalah stereo dengan sokongan Dolby Atmos. Bagaimanapun, untuk peranti terbaharu ini tiada lagi bicu audio dibekalkan malah tiada juga kepala pengecas disertakan.
Rekaan Kamera Baharu
Seakan menjadi satu ciri standard kepada Samsung apabila rekaan lensa kamera belakang model Siri A kali ini seakan sama dengan rekaan pada model Samsung Galaxy S23 tanpa sebarang bingkai sebagaimana model A53 terdahulu.
Tiga bonggol utama yang dilengkapi lensa kamera dengan rekaan Floating Camera yang diperkenalkan pada siri S23 menjadi satu pertaruhan kepada Samsung pada peranti kelas pertengahan ini.

Dari segi prestasi, kamera peranti ini boleh melakukan rakaman video sehingga resolusi 4K 30FPS. Sebagaimana ciri sebelum ini iaitu peranti ini masih mengekalkan ciri Makro, AR, Potret, Panorama, Pro Video, Pro dan Hyperlapse.
Cuma penambahbaikan dilakukan pada Mod Malam dengan ciri Nightography untuk mengambil gambar pada waktu malam yang lebih menarik. Selain itu, kamera ini menyokong mod zum digital sehingga 10 kali sahaja.
Lihat contoh dibawah. Lensa dihala dengan jarak zum 10 kali, 4 kali dan 1 kali. Kemudian dengan menggunakan aplikasi sedia bina iaitu remaster picture, gambar yang dihasilkan ini dikemaskini secara automatik menjadikan gambar kelihatan lebih jelas dan cantik.

Bagi penulis, rekaan luaran semua telefon pintar hampir sama cuma membezakannya adalah spesifikasi yang ditawarkan. Tentu sekali jurutera Samsung sudah melakukan terbaik untuk menghasilkan peranti mampu milik Galaxy A54 ini pada harga bawah RM2,000.
Ciri kamera dipertingkatkan
Samsung Galaxy A54 dilengkapi ciri tri-kamera belakang gabungan 12MP + 5MP + 50MP, sementara kamera swafoto 32MP (f/2.2). Konfigurasi kamera pada peranti ini ialah 50MP (f/1.8) – (Utama); 12MP (f/2.2) – (Ultra-Lebar); 5MP (f/2.4) – (Kedalaman) dan 5MP (f/2.4) – (Makro)
Kamera utamanya disokong oleh OIS (optical image stabilization) dan zoom digital sehingga 10 kali ganda.

Tidak kira siang atau malam, peranti ini menawarkan pakej kamera yang lebih baik sekali gus menghasilkan imej yang menakjubkan dengan kualiti yang dipertingkatkan, dengan menggunakan keupayaan Nightography dan AI terkemuka Samsung Galaxy.
Sama ada untuk rakaman swafoto yang sempurna atau bersambung melalui panggilan video yang tersangat lancar, Galaxy A54 menawarkan perincian visual yang menakjubkan menerusi kamera hadapan 32MP.

Telefon pintar baharu ini juga menghasilkan video berkejelasan tinggi untuk rakaman kandungan yang hebat. Dengan menggunakan penstabil imej optikal (OIS) dan penstabil imej digital video (VDIS) yang mampu mencegah kekaburan akibat gegaran, pengguna boleh menghasilkan kandungan yang hebat dengan penuh keyakinan.
Menerusi sensor yang dipertingkatkan, mengambil gambar dalam suasana pencahayaan malap, mod Malam membantu merakam visual yang lebih terperinci dengan memperluaskan saiz piksel kamera.
Buat julung kalinya, untuk peranti dalam siri Galaxy A, pengguna juga boleh menghapuskan bayang-bayang dan pantulan yang tidak diingini dalam rakaman dengan menggunakan alat penyunting imej yang dipertingkatkan.

Spesifikasi
Samsung Galaxy A54 5G hadir dengan skrin bersaiz 6.4 inci Super AMOLED FHD+ (1080 x 2340), Infinity-O Display dan kadar segar semula 120 Hz.
Kapasiti storan adalah yang terbesar diberikan iaitu 256GB dan turut disediakan kemudahan untuk tambahan slot kad storan sehingga 1TB.
Untuk spesifikasi dalaman, Samsung Galaxy A54 menggunakan cip pemproses baharu Exynos 1380 dengan 5nm. Konfigurasi teras terdiri daripada 4 X 2.4 GHz Cortex-A78 dan 4 x 2.0 GHz Cortex A55 dengan GPU Mali-G68 MP5.
Cip ini dipadankan dengan memori sehingga 8GB RAM LPDDR4X dan storan sehingga 256GB UFS 3.1. Memori boleh ditambah sehingga 6GB secara maya menggunakan ciri RAM Plus.

Satu lagi ciri menarik pada A54 ialah ia melepasi piawaian kalis air serta debu IP67 yang sudah memadai bagi peranti kelas pertengahan.
Peranti ini juga menggunakan sistem operasi One UI 5.1 yang berasaskan Android 13 iaitu versi terkini One UI yang turut digunakan pada siri S23.
Ketika peranti ini diuji, ia beroperasi dengan lancar dan pantas tanpa mengalami sebarang isu aplikasi utama. Bagi mereka yang mencari peranti yang boleh digunakan untuk masa yang lama, A54 disahkan menerima kemas kini empat versi Android dan tampalan sekuriti selama lima tahun.
Kedua-dua paparan ini telah dinaik taraf untuk memberikan keterlihatan yang menakjubkan, walaupun di bawah silau cahaya matahari. Dengan ciri Vision Booster yang dipertingkatkan dan kadar penyegaran semula 120Hz yang dipertingkatkan, paparan ini bersesuaian dengan pelbagai keadaan pencahayaan yang berbeza.

Harga pasaran
Samsung Galaxy A54 5G yang baru diperkenalkan di pasaran negara ini ditawarkan pada harga RM1,899 untuk 8GB RAM/256GB storan dalam empat warna menarik iaitu Awesome Lime, Awesome Violet, Awesome Graphite dan Awesome White.
Kesimpulan
Samsung Galaxy A54 5G ini ialah sebuah peranti kelas pertengahan yang dikemaskini dengan ciri lebih baik khususnya bateri berkapasiti besar, kamera yang tidak mengecewakan dan sokongan empat versi Android pada harga yang mampu milik.
Setiap penambahbaikan yang dilakukan pada peranti ini seberat 202 gram ini memberikan satu kelebihan kepada anda yang memerlukan satu peranti untuk kegunaan harian, cekap dan pantas daripada segi pemprosesan.

Satu lagi ciri menarik ialah ciri FUN dimana kamera ini dilengkapi lensa Snapchat yang unik menjadikan gambar dihasilkan menjadi pelbagai bentuk yang pelik dan menyeronokkan.
Perkongsian fail penting yang mengandungi maklumat sensitif atau peribadi dengan tahap privasi dan kawalan tertinggi juga khusus dilindungi ciri Private Share.
Ciri ini membolehkan perkongsian fail hanya dengan penerima yang ditetapkan untuk had masa yang tertentu dan juga menawarkan perlindungan daripada tangkapan skrin tanpa kebenaran.
Spesifikasi Samsung Galaxy A53 5G:
- 6.4” Super AMOLED FHD+ (1080 x 2340), Infinity-O Display, 120 Hz
- Samsung Eynos 1380 (5nm)
- Samsung One UI 5.1 + Android 13
- Memori 8GB
- Storan 256GB RAM
- 5000mAh Fast Charging 25W
- (CPU) Octa-core (4×2.4 GHz Cortex-A78 & 4×2.0 GHz Cortex-A55)
- Kamera belakang: 50MP, f/1.8 (sudut lebar) 12MP, f/2.2, (ultra-lebar) 5MP, f/2.4 (makro)
- Kamera depan: 32MP AF f/2.2
- Pengimbas cap jari, pembesar suara stereo AKG dan surround sound Dolby Atmos, IP67
- Warna: Awesome Lime, Awesome Violet, Awesome Graphite, Awesome White.
- Harga: RM1,899



















































