MYDIN, rangkaian pasar raya besar dan peruncitan Halal terbesar di Malaysia, menerima pujian daripada NGO antarabangsa Lever Foundation hari ini kerana komited untuk menjual hanya telur hasil ternakan tanpa sangkar di semua lokasinya di seluruh negara menjelang 2030.

“Kami akan terus bekerjasama dengan pembekal dan pelanggan kami untuk mencapai
matlamat kami dalam penjualan 100% telur bebas sangkar di pasaraya Mydin menjelang
2030. Peralihan akan dimulakan di pasaraya terpilih mulai Mac 2023 dan diperluaskan ke
semua cawangan seluruh Malaysia.,” kata MYDIN dalam kenyataan.

Peralihan ini akan dilaksanakan di semua 66 pasar raya, emporium dan kedai runcit syarikat di seluruh negara.

“Kami mengucapkan tahniah kepada MYDIN yang menetapkan matlamat penjualan telur yang dihasilkan daripada ternakan tanpa sangkar ini, yang akan terus meningkatkan
keselamatan dan kualiti makanan untuk pengguna serta turut menambah baik kebajikan
ayam,” kata Pengurus Program Kelestarian Lever Foundation, Vilosha Sivaraman, yang
bekerjasama dengan MYDIN atas komitmen berkenaan.

“Matlamat baharu ini menunjukkan semangat dan perhatian MYDIN dalam usaha menyediakan produk yang berkualiti tinggi dan mampan untuk para penggunanya dan bakal menjadi contoh kepada peruncit lain di Malaysia.”

Pertubuhan perlindungan haiwan dan keselamatan makanan di seluruh dunia menggalakkan peralihan kepada telur yang terhasil daripada ternakan tanpa sangkar, yang lebih berperikemanusiaan kepada haiwan dan lebih selamat kepada golongan pengguna.

Penyelidikan yang dijalankan oleh Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Eropah dan pihak lain mendapati bahawa telur hasil ternakan tanpa sangkar adalah 25 kali ganda kurang
dicemari dengan strain utama salmonella berbanding dengan ayam yang diternak di dalam
sangkar.

Pengeluran telur sangkar bateri sudah diharamkan di seluruh Kesatuan Eropah serta di Australia, New Zealand, UK, Kanada, India dan sebahagian Amerika Syarikat.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semakin banyak jenama makanan yang berikrar untuk menggunakan hanya telur daripada ternakan tanpa sangkar di seluruh Asia.

Di Malaysia, restoran dan kafe seperti Old Town White Coffee dan O’Briens Irish Sandwich
Cafe, serta Kumpulan Hospitaliti seperti Hotel Hatten, Ascott Malaysia dan Banyan Tree,
adalah antara pelbagai syarikat yang sudah menetapkan garis masa masing-masing untuk
beralih kepada penggunaan telur daripada ternakan tanpa sangkar sahaja.