Menjelang ketibaannya di pasaran Malaysia, BMW Malaysia mempersembahkan BMW XM yang sulung, jentera SAV BMW M GmbH berprestasi tinggi yang pertama kali didatangkan bersama daya pacuan elektrik.

Dijadualkan tiba di Malaysia pada bulan Jun 2023, BMW XM yang sulung menampilkan sistem pacuan BMW M HYBRID yang serba canggih, digandingkan dengan teknologi suspensi M untuk menzahirkan sebuah pengalaman pemanduan yang dinamik dan yang
tiada bandingannya.

Produksi bagi BMW XM yang sulung telah bermula pada Disember tahun lalu di kilang Spartanburg milik BMW Group yang terletak di AS.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia menyatakan, “Kami benar-benar
teruja untuk memperkenalkan BMW XM yang sulung di Malaysia.

Jentera SAV serba eksklusif ini merupakan kereta berprestasi tinggi BMW M GmbH yang pertama bakal menampilkan sistem pacuan M HYBRID, lantas meluaskan lagi keupayaan e-mobiliti dalam segmen kereta berprestasi tinggi di Malaysia.

Ia merupakan pengilhaman semula ideal automotif, dan karakteristik prestasinya yang ekstrem akan menjanjikan pengalaman pemanduan yang serba mewah buat para pelanggan dan penyokong jenama ini di Malaysia.”

BMW XM menandakan permulaan sebuah era baharu: buat julung kali sejak jentera legenda BMW M1 diperkenalkan pada tahun 1970-an, BMW M GmbH mempersembahkan sebuah model produksi yang dibangunkan secara bebas – jentera yang memiliki spesifikasi luar biasa dari segala sudut.

Mengagumkan dari segi prestasi dan pesonanya, keistimewaan status BMW XM yang sulung dicerminkan dalam pelbagai bentuk, dengan kualiti material, mutu kerja dan keeksklusifan yang mendefinisikannya.

Tiada kompromi dan megah.

BMW XM yang sulung menggandingkan bahasa reka bentuk model-model BMW X dengan karakter yang menonjol serta aneka ciri yang elegan. Justeru, berbekalkan juga prestasi
cemerlang sebuah model BMW M, maka terlahirlah jentera elektrik yang benar-benar
memukau, memecah acuan tradisi dan kelaziman.

Sebagai standard, BMW XM yang sulung hadir dengan Pakej M Aerodynamics dan M High-Gloss Shadow Line, dengan Konten Lanjutan yang disediakan untuk profil Shadow Line. Selain itu, lampu hadapan Adaptive LED dengan ciri bantuan lampu puncak juga disertakan secara standard.

Dari segi dimensi, panjang BMW XM yang sulung berukuran 5,100 mm, lebar berukuran
2,005 mm (2,235 mm termasuk cermin sisi) dan tinggi berukuran 1,755 mm, sementara
jarak rodanya (wheelbase) pula berukuran 3,105 mm. Kapasiti muatan bagi SAV ini
berukuran 527 liter, dan ia dapat ditingkatkan kepada 1,820 liter.

Warna-warna eksterior yang ditawarkan untuk BMW XM yang sulung merangkumi Cape
York Green, Carbon Black, Marina Bay Blue, Toronto Red, Mineral White, Black Sapphire
dan Dravit Grey. Bagi upholsteri interiornya pula, tawaran meliputi Leather Merino Deep
Lagoon dengan konten eksklusif, Leather Merino Silverstone dengan konten eksklusif,
Leather Merino Black dan Leather Merino Sakhir Orange.

Harga runcit (atas jalan, tanpa insurans) bagi BMW XM yang sulung dengan Pakej Servis
Waranti Lanjutan Bertempoh 5 Tahun ialah: RM 1,398,800.00