Seng Fong Holdings Bhd (Seng Fong), yang membuat penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia mencatatkan premium 75 sen sesaham dengan 10.8 juta saham telah diniagakan di awal dagangannya hari ini.

Syarikat pemproses getah yang mengeluarkan dan memperdagangkan Getah Standard Malaysia dan getah blok gred premium memiliki modal pasaran pada ketika waktu penyenaraian bernilai RM389.22 juta.

Pengerusi Seng Fong, Ng Ah Bah @ Kok Yee berkata, melangkah ke hadapan, Seng Fong akan berada pada kedudukan yang baik untuk meraih peluang yang muncul daripada peningkatan permintaan pelanggan sedia ada juga daripada pelanggan baharu sambil meningkatkan pengeluaran melalui pengambilan lebih ramai orang untuk anjakan kedua dan melaksanakan inisiatif ESG untuk menjadikan perniagaan Seng Fong lebih mampan.

“Membina perniagaan yang mampan juga memerlukan sokongan pemegang saham kami. Oleh itu, kami berhasrat untuk mengagihkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keuntungan bersih tahunan kami sebagai dividen kepada pemegang saham, tertakluk kepada kelulusan Lembaga Pengarah dan pemegang saham,” katanya selepas majlis penyenarai Seng Fong di sini hari ini.

Seng Fong menjana sebanyak RM68.1 juta daripada IPO. Daripada hasil itu, RM19.7 juta telah diperuntukkan untuk keperluan modal kerja termasuk pembelian bahan mentah dan pengambilan pekerja tambahan; RM37.9 juta untuk pembayaran balik pinjaman bank yang termasuk pembiayaan separa untuk unit sistem solar, RM6.3 juta untuk membiayai pemasangan unit sistem biojisim dan RM4.2 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.

Pemasangan sistem solar dianggarkan mencapai penjimatan kos kira-kira RM2.6 juta setahun daripada kos elektrik dan RM3.5 juta lagi setahun daripada kos diesel melalui pemasangan sistem biojisim.

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021, bahagian pasaran eksport getah blok Syarikat berjumlah 11.8 peratus berdasarkan pengeluaran eksportnya sebanyak 121,404 tan metrik (MTS) berbanding jumlah volum eksport getah blok negara sebanyak 1.03 juta MTS pada 2021. Hasil Seng Fong hampir keseluruhannya diperoleh daripada eksport, dengan pasaran utama iaitu China, Hong Kong, Singapura dan Taiwan.

Getah blok yang dikeluarkan oleh Seng Fong dijual terus kepada pelanggan pengguna akhir, majoriti adalah pengeluar tayar, dan juga dijual kepada peniaga getah antarabangsa. Getah blok yang diperoleh daripada peniaga getah antarabangsa atau pemproses getah asli, untuk tujuan perdagangan, dijual kepada pengeluar tayar.