Agrobank dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) memeterai perjanjian bagi membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat bersaiz sederhana (MSC), untuk pulih dan membangun lebih kukuh dalam fasa pemulihan semasa di bawah Skim Jaminan Kerajaan Keluarga Malaysia.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, skim pembiayaan itu dibuka kepada kumpulan sasaran yang lebih luas iaitu kumpulan PKS dan MSC di Malaysia yang mempunyai pendapatan tahunan tidak melebihi RM250 juta.

“Skim ini dibangunkan berikutan Pakej Bantuan PEMULIH yang diumumkan pada 28 Jun 2021 dengan peruntukan RM20 bilion Jaminan Kerajaan di bawah Skim Jaminan Kerajaan PEMULIH (PGGS). Ia dibuka kepada usahawan yang memerlukan bantuan aliran tunai untuk pulih dan membangunkan semula perniagaan mereka dalam menghadapi fasa pemulihan ekonomi ekoran pandemik COVID-19 pada ketika ini.

“PKS dan MSC yang memerlukan bantuan, boleh memohon dan menggunapakai kemudahan pembiayaan ini untuk dijadikan modal kerja baharu atau tambahan dan/atau dijadikan modal perbelanjaan untuk membeli peralatan bagi menambahbaik landskap perniagaan mereka,” beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani ‘Surat Tawaran’ pemeteraian perjanjian skim tersebut di antara Agrobank dan SJPP yang berlangsung baru-baru ini.

Surat Tawaran itu, ditandatangani oleh Ketua Pegawai Operasi Agrobank, Zahid Ahmad Zawawi dan Ketua Pegawai Operasi SJPP, Juanita Rusmini Abdul Jalil, disaksikan Tengku Ahmad Badli Shah dan Pegawai Utama SJPP, Chen Yin Heng serta delegasi pengurusan kanan Agrobank dan SJPP.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata, usahasama di antara Agrobank dan SJPP ini adalah bertepatan dengan hala tuju Bank pada tahun 2022, iaitu fokus untuk memudahkan proses pemulihan ekonomi di kalangan pemilik perniagaan dan menambahbaik sektor pertanian negara.