MyCar, syarikat e-hailing kedua terbesar selepas Grab mensasarkan jumlah pemandunya di seluruh negara akan meningkat kepada kira-kira 250,000 orang berbanding 147,000 orang ketika ini.

Sasaran itu bersandarkan kepada pengenalan beberapa perkhidmatan baharu seperti perkhidmatan penghantaran barangan sebagaimana yang dilakukan oleh syarikat. e-hailing lain.

Ketua Pegawai Eksekutif, Platform Apps Sdn Bhd, Mohd Noah berkata, permintaan terhadap perkhidmatan penghantaran sejak wabak COVID-19 melanda negara ini semakin meningkat menyebabkan syarikat mengambil kesempatan memperkenalkan perkhidmatan tambahan.

Beliau berkata, dengan kebolehan MyCar sebelum ini yang mampu mengendalikan 60,000 tempahan dalam satu hari sebelum ini, akan memberikan satu persaingan yang sihat dengan pencabar lebih besar namanya, seperti Grab.

“MyCar juga memaklumkan fokus utama perkhidmatan mereka adalah e-hailing dan penghantaran barangan sahaja dalam tempoh 6 bulan.

Mohd Noah (kiri) dan Ketua Perhubungan Kerajaan, Shafiq Affendi (kanan)

“Kami juga mempelbagaikan jenis modul perkhidmatan terutama e-hailing untuk pelajar sekolah dan korporat, yang dikenali sebagai MyCar For School dan MyCar For Business,” katanya pada majlis pelancaran aplikasi MyCar 3.0 oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim di Kuala Lumpur, hari ini.

MyCar juga akan menarik semula aplikasi MyCar SuperApps yang dilancarkan pada Ogos 2020 dan digantikan dengan MyCar 3.0. Ini adalah berikutan beberapa masalah fungsi utama didalam aplikasi MyCar SuperApps itu.

Aplikasi SuperApps itu akan digantikan dengan MyCar 3.0 yang direka dan dibangunkan sendiri oleh MyCar, dengan menggunakan 100 peratus kemahiran graduan kejuruteraan perisian tempatan.

Malahan dengan kejayaan terciptanya aplikasi MyCar 3.0 ini, MyCar mensasarkan untuk menjadi unicorn gig ekonomi pertama dari Malaysia untuk Rantau Asia Tenggara.

Antara kelebihan-kelebihan yang ada dalam MyCar 3.0 adalah tawaran hadiah kepada pengguna yang mempromosikan aplikasi MyCar 3.0 kepada rakan-rakan mereka.

MyCar 3.0 juga akan memberikan lebih banyak cara bayaran melalui e-wallet dan tanpa tunai. MyCar 3.0 ini juga mudah digunakan dan mampu menarik lebih ramai pemandu untuk memberikan perkhidmatan mereka serta komisin yang rendah untuk pemandu.

Dengan membangunkan logik algoritma yang dibina oleh MyCar sendiri, dijangkakan MyCar mampu menawarkan lebih banyak tawaran yang lebih menarik didalam aplikasi (in-app) dan boleh ditebus terus dengan hadiah-hadiah yang menarik di restoran makanan segera, kedai pelbagai guna, farmasi dan pusat membeli belah yang terkenal dengan menggunakan app 3.0 ini.

Justeru, orang ramai diminta untuk menyahturun (uninstall) aplikasi MyCar 1.0 dan MyCar SuperApp (2.0) sebelum ini dan memuat turun semula MyCar 3.0 yang baru ini.