UMW Toyota Motor dengan bangganya melancarkan edisi ke-20 Program Toyota Eco Youth
(TEY), sekali gus menandakan genap dua dekad syarikat terlibat dalam menggalakkan
pemuliharaan alam sekitar serta dalam masa yang sama, memberdayakan golongan belia
melalui kemahiran dan pengetahuan menyelesaikan masalah cara Toyota.

Kementerian Pendidikan Malaysia sekali lagi bekerjasama dengan UMW Toyota Motor dalam
melancarkan pertandingan peringkat negeri dan kebangsaaan ini.

TEY berbangga untuk menjadi program pelopor dengan matlamat meningkatkan kesedaran dan inovasi terhadap alam sekitar dalam kalangan remaja dan belia di negara ini.

Leaderonomics Community juga merupakan rakan sekerja bagi TEY 2020/2021 dan terlibat secara langsung dengan usaha ini.

Bagi tempoh 20 tahun lalu, TEY telah memperkenalkan pelbagai tema dengan satu matlamat utama iaitu untuk membentuk sebuah masyarakat yang prihatin terhadap alam sekitar di masa hadapan.

Keseluruhannya, ia telah melibatkan 285 sekolah, 1,910 pelajar sekolah menengah dan 762 guru yang telah menerima manfat daripada program TEY dan menjalankan usaha-usaha berkaitan alam sekitar di perkarangan sekolah atau di sekitar daerah mereka.

Program ini juga menyediakan mereka platform untuk melobi idea yang ada kepada pihak
berkepentingan terlibat, antaranya pihak berkuasa tempatan, komuniti setempat dan juga
media.

Tema bagi edisi ke-20 ini ialah “Reimagining Mobility”, bertujuan untuk mewujudkan
penyelesaian mobiliti yang selamat dan mesra alam. Ia menjunjung dan mementingkan
keterlibatan menyeluruh serta kebebasan idea sebagai asas utama bagi tema tahun ini.

“Toyota Eco Youth telah menjadi pelopor di Malaysia sepanjang 20 tahun lalu, dan tahun ini
kami menjanjikan lebih banyak inovasi serta kemajuan di bawah tema Reimagining Mobility,” kata Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

“Anak muda di negara ini ialah benih untuk masa depan dan TEY ingin membantu pertumbuhan kreativiti mereka dan membantu menzahirkan inovasi yang digerakkan.

Kami melihat program ini sebagai perkakas untuk menghimpunkan minda-minda terbaik dalam merencanakan masa depan yang lebih hijau untuk kita semua,” katanya.

Konsep bagi TEY tahun ini berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya kerana ia akan
melibatkan rentang waktu tiga tahun.

Program ini terbuka kepada pelajar-pelajar sekolah menengah berumur antara 13-16 tahun dan tiada had penyertaan untuk sekolah. Pelajar boleh mendaftar melalui www.toyota.com.my/toyotaecoyouth atau melalui sekolah masing-masing.

Format program ini akan berlangsung dalam talian sepenuhnya, termasuk e-pembelajaran
interaktif dan bengkel. Fasa penilaian akhir akan memberi ruang kepada pelajar untuk
menunjukkan perkembangan mereka melalui media sosial dan saluran-saluran secara
langsung.

16 pasukan teratas bagi TEY 2020 akan dipersiapkan dan dilatih dengan kemahiran pengurusan projek yang menerapkan Metodologi Penyelesaian Masalah Toyota. Dengan pengetahuan yang diperkemaskan itu, 16 pesaing terbaik TEY akan membangunkan prototaip penyelesaian berdasarkan komuniti setempat mereka.

Pendekatan dua arah ini telah diterapkan oleh TEY untuk memastikan mereka menimba pengalaman menyeluruh dari aspek teori mahupun praktikal.