Jualan sebanyak 11,392 unit pada bulan Oktober bersamaan dengan penambahan sebanyak 20% berbanding dengan bulan sama pada 2019

Syarikat automotif nasional, Proton, meningkatkan momentum jualannya, sekaligus memulakan suku terakhir tahun ini dengan cemerlang.

Jumlah jualan bertambah untuk bulan kelima berturut-turut. Dengan jualan 11,392 unit (pasaran tempatan dan eksport), jumlah keseluruhan bulan Oktober telah bertambah sebanyak 20% berbanding dengan bulan yang sama pada 2019, tetapi turun 4.6%
berbanding dengan bulan September.

Sebanyak 84,999 unit telah dijual secara keseluruhan bagi tahun 2020, penambahan sebanyak 6.2% berbanding tahun lepas, pegangan pasaran dianggarkan mencapai 21.3%.

Walaupun jualan pada bulan Oktober menurun berbanding dengan bulan lepas, tiga model Proton masih lagi mendahului segmen mereka. Proton Persona, yang menghadapi sebilangan pesaing baru pada tahun 2020, tetap mendahului pasaran sedan segmen-B dengan 2,360 unit manakala Proton X70 pula telah mencapai 2,216 unit untuk kekal sebagai SUV terlaris di Malaysia.

Proton Exora juga kekal di hadapan pasaran MPV segmen-C, membuktikan pasaran untuk kenderaan besar yang mempunyai tujuh tempat duduk masih wujud walaupun jualan SUV semakin menambah.

“Penambahan kadar pelancaran model baru dan jumlah jualan bulan Oktober adalah antara tanda pemulihan pasaran automotif Malaysia. Kami menganggarkan Jumlah Pengeluaran Keseluruhan Industri (TIV) bulan ini akan melebihi 57,000 unit, jumlah kedua tertinggi bagi tahun 2020 dan ini bukti ketara pemulihan industri.

Roslan Abdullah

“Proton amat bersyukur kerana jualan bulanan bertambah berbanding dengan tahun lepas dan penambahan pula amat stabil, tetapi kami yakin boleh mencapai pretasi yang lebih tinggi.”

“Kajian terhadap prestasi jualan secara terperinci menunjukkan jualan telah menurun secara mendadak di Malaysia Timur manakala di Wilayah Tengah pula tiada penambahan berbanding dengan bulan September.

“Ini dipercayai disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang telah mengurangkan pergerakan penduduk dan memberi kesan kepada jualan, tetapi mungkin juga kerana pelanggan menanti-nantikan pelancaran Proton X50, model Proton terbaru.

“Apa jua sebabnya, PROTON berasa yakin akan dapat mengakhiri tahun ini dengan pencapaian yang cemerlang supaya boleh mencapai matlamat yang lebih tinggi pada tahun 2021,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton EDAR.

Proton X50, yang telah dilancarkan pada 27 Oktober, menerima sambutan yang amat memberangsangkan dari pembeli di Malaysia. Sebanyak 27,400 tempahan telah diterima setakat akhir bulan lepas dan pada masa yang sama, penghantaran kenderaan sebanyak 447 unit telah selamat dihantar ke pembeli.