Pegangan pasaran yang dicatatkan adalah tertinggi sejak Ogos 2013 iaitu sebanyak 23.8%
dan jualan meningkat lebih 80% berbanding tempoh sama pada 2019
PROTON mencatatkan hasil jualan kukuh dalam bulan kedua berturut-turut pada tahun 2020 di mana jualan pada Februari meningkat lebih 80% berbanding tempoh sama pada tahun 2019.

Sebanyak 9,974 unit telah didaftarkan, memperlihatkan peningkatan 17.3% berbanding Januari 2020. Hasil daripada peningkatan ini, pegangan pasaran PROTON untuk bulan tersebut dianggarkan berada pada 23.8%, iaitu catatan tertinggi berbanding Ogos 2013 dan peningkatan 10.3% berbanding Februari 2019.
Tiga model daripada rangkaian semasa Proton menjadi model paling popular pada bulan Februari dalam segmen masing-masing. Persona kembali menguasai carta bagi Sedan segmen B dengan jualan sebanyak 2,653 unit atau hampir dua kali ganda berbanding pesaing terdekatnya.
Selain itu, dengan jualan sebanyak 1,973 unit, Proton X70 menjadi SUV paling popular di Malaysia untuk bulan kedua berturut-turut di mana pelanggan yang menempah awal Proton X70 2020 sudah mula menerima kereta mereka.

Sehingga kini, lebih daripada 7,000 tempahan diterima, membuktikan bahawa permintaan SUV pintar itu di Malaysia kekal kukuh.
Seterusnya, Exora turut menjadi pemimpin segmen yang ketiga pada bulan Februari, yang mana model tersebut kekal mendominasi pasaran MPV bagi segmen C. Model-model Proton yang lain iaitu Saga dan Iriz turut mencatat jualan terbaik bagi bulan tersebut.
Saga kekal menjadi model terlaris Syarikat dengan mencatat jualan sebanyak 3,934 unit dan tempahan yang diterima adalah melebihi keluaran. Sementara itu, Iriz berada di
kedudukan kedua untuk kategori hatchback segmen B dengan jualan yang kekal kukuh selepas versi terbaharu model itu dilancarkan pada tahun 2019.






































