Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan Penang Port Sdn Bhd telah mengadakan Majlis Pelancaran Naik Taraf Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) bertempat di Waving Gallery, SPCT, semalam.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang dan turut dihadiri oleh Lim Guan Eng, Menteri Kewangan Malaysia dan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan Malaysia.

Antara yang hadir di majlis tersebut adalah Jeffrey Chew Gim Eam, Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Monaliza Suhaimi, Pengurus Besar Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Dato’ Syed Mohamad Syed Murtaza, Pengerusi Penang Port Sdn Bhd, Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Noh, Pengarah Urusan Kumpulan MMC dan Sasedharan Vasudevan, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port Sdn Bhd.
Pada 6 September 2018, Penang Port Sdn Bhd dan Royal Caribbean Cruises Ltd. (RCL) telah menandatangi perjanjian usahasama untuk menaiktaraf SPCT. Projek naik taraf ini melibatkan pemanjangan dermaga ke sebelah utara terminal, dengan penambahan 220 meter daripada struktur dermaga asal.
Pemanjangan dermaga ini akan membolehkan 2 kapal terbesar di dunia iaitu kelas ‘Oasis’ untuk berlabuh pada satu masa yang sama. Satu unit kapal kelas ‘Oasis’ boleh menampung seramai 6, 700 penumpang secara keseluruhannya.
Projek naik taraf ini turut melibatkan penstrukturan semula terminal sedia ada bagi
meningkatkan kecekapan pengendalian penumpang, pembangunan gudang-gudang lama bagi tujuan aktiviti komersial dan kemudahan Ground Transport Area (GTA).
Keseluruhan projek akan memakan masa selama 24-36 bulan. Apabila naik taraf ini selesai, SPCT dapat menampung 12,000 orang penumpang, berbanding kini yang hanya mampu menampung 8,000 orang penumpang.
Kedudukan SPCT yang berada di dalam bandar serta terletak dalam Tapak Warisan
Dunia merupakan faktor tarikan utama pelancong ke Pulau Pinang dan berpotensi menjadi
destinasi utama kapal kruis di Asia.






































