Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi unit TM ONE baru-baru ini, menandatangani Memorandum Usahasama (MoC) dengan Huawei.

MoC ini adalah susulan Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah termeterai antara TM dan Huawei pada Mac 2018 yang menggariskan pelbagai inisiatif antara kedua-dua pihak bagi mempromosikan inovasi, membangunkan strategi ke pasaran, meningkatkan kemahiran dan keupayaan serta mempertingkatkan produk dan perkhidmatan masing-masing.

Signing MoC TM ONE & Huawei

Sambil TM ONE dan Huawei berhasrat memainkan peranan pembangunan yang lebih proaktif dalam menyediakan infrastruktur dan ekosistem bagi menyokong pertumbuhan negara, khususnya untuk merebut peluang-peluang transformasi perusahaan dan sektor awam di Malaysia, kolaborasi ini akan membolehkan kedua-dua syarikat memacu era transformasi digital masa hadapan untuk rakyat Malaysia bagi memanfaatkan gabungan kekuatan dan keupayaan kedua-dua pihak.

MoC tersebut telah ditandatangani oleh kedua-dua syarikat semasa Mobile World Congress (MWC) Shanghai 2019.

Dato’ Noor Kamarul Anuar Nuruddin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM berkata, “Kami teruja dapat bekerjasama dengan syarikat global terkemuka seperti Huawei bagi program usahasama strategik ini yang bertujuan merebut peluang-peluang transformasi digital perusahaan dan sektor awam di Malaysia.

“Kolaborasi ini akan mengukuhkan kedudukan kami sebagai pemacu aspirasi Digital Malaysia dengan pelaksanaan aplikasi dan rumusan untuk kediaman dan perniagaan di Malaysia serta lebih lagi, seperti yang terangkum dalam visi kami, “Menjadikan Hidup dan Perniagaan Lebih Mudah, demi Kesejahteraan Malaysia”.”

Sementara itu, Tian Feng, ahli Lembaga Penasihat/Naib Presiden Kanan Huawei berkata: “Usahasama TM dan Huawei ini diperkukuhkan lagi dengan berasaskan kepada MoU kerjasama strategik tahun lalu, dan ini akan membantu kedua-dua syarikat lebih maju pada masa hadapan.

Kolaborasi ini adalah berdasarkan kepada saling keyakinan jangka panjang antara kedua-dua organisasi dan yang lebih penting, melengkapi keupayaan teknologi dan strategi kedua-dua pihak dalam pasaran perniagaan perusahaan.

Kami yakin Huawei mampu memanfaatkan teknologi termajunya seperti pengkomputeran awan, Data Raya, Segalanya Internet (IoT), dan Kepintaran Buatan (AI) bagi melengkapkan kemasukan TM ONE ke pasaran.”

Menurut MoC tersebut, kedua-dua pihak bersetuju untuk mempromosikan kerjasama menerusi kemungkinan perancangan akaun bersama serta pemetaan peluang-peluang yang ada, penghasilan rumusan bersama pada masa hadapan serta penghasilan bersama penciptaan nilai pelanggan.

Usaha ini akan bertumpu kepada segmen perusahaan seperti Tenaga & Utiliti, Petroleum & Gas, Pengangkutan, Sektor Awam, Pendidikan, Pembuatan, Komersil dan/atau Hartanah dalam pelbagai aspek termasuklah Awan, Rangkaian, Penstoran, Pengkomputeran Berprestasi Tinggi, Kepintaran Buatan (AI), Segalanya Internet (IoT) dan Rangkaian Berdefinisi Perisian.

“TM sentiasa menerajui setiap evolusi teknologi komunikasi di negara ini. Kami mempunyai
rekod yang terbukti sejak sekian lama dalam pembangunan negara, berserta kemahiran dan pengalaman yang tepat untuk melonjakkan Malaysia menjadi sebuah Negara Digital,” katanya.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini