Cawangan restoran pandu lalu baharu untuk memenuhi keperluan populasi pelajar yang berkembang di Bandar Universiti Pagoh

SIME Darby Property Berhad akan bekerjasama dengan QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands) untuk membangunkan restoran KFC pandu lalu yang pertama di Bandar Universiti Pagoh (BUP), dalam usaha untuk meningkatkan tawaran nilai (value proposition) perbandaran itu dan memenuhi permintaan populasi pelajar yang berkembang.

Kedua-dua pihak diwakili oleh Dato’ Wan Hashimi Albakri, Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Perbandaran Sime Darby Property dan Dato’ Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil, Pengarah Urusan QSR Brands yang telah menandatangani dan bertukar Memorandum Persefahaman (MoU), disaksikan oleh tetamu kehormat Dato’ Dr Sahruddin Jamal, Menteri Besar Johor dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri.

Turut hadir adalah YAM Tengku Datuk Seri Ahmad Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Ahli Lembaga Pengarah Sime Darby Property dan Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim, Presiden & Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Pengerusi QSR Brands.

Sebagai sebahagian daripada MoU, Sime Darby Property akan membina restoran tersebut dan memasuki perjanjian pajakan jangka panjang bersama QSR Brands. Ini selaras dengan strategi Sime Darby Property untuk menambah nilai pembangunan-pembangunan yang sedia ada serta meningkatkan pendapatan berulang bagi syarikat.

Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Pembandaran Sime Darby Property, Dato’ Wan Hashimi Albakri berkata, “BUP adalah perbandaran yang unik, disokong oleh hab pendidikan bersepadu pertama negara.

Kerjasama kami bersama QSR akan meningkatkan nilai perbandaran ini melalui penyediaan rangkaian restoran perkhidmatan pantas yang popular, menyediakan perkhidmatan kepada kira-kira 10,000 pelajar apabila diduduki sepenuhnya.

Ini merupakan kerjasama pertama yang dijalankan bagi pembangunan ini, di samping usaha-usaha lain yang sedang dalam perancangan. Kami berhasrat untuk menarik lebih banyak aktiviti ekonomi bagi meningkatkan peluang pekerjaan untuk masyarakat setempat, selain memacu permintaan terhadap produk-produk kami.”

Tapak yang dicadangkan bagi restoran KFC pandu lalu itu terletak di tanah berkeluasan kira-kira 0.89 ekar di kawasan komersial Sarjana Promenade. Restoran tersebut dijangka dibuka pada akhir Jun 2020.

Presiden & Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Pengerusi QSR Brands, Dato’ Kamaruzzaman juga melahirkan keyakinan terhadap kerjasama itu, yang menurut beliau berpotensi sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi Pagoh, selain daripada penambahan nilai yang ditawarkan kepada pembangunan hab pendidikan itu.

“Ini mencerminkan visi kumpulan sebagai konglomerat negeri dengan peranan untuk membangunkan masa depan ekonomi Johor dan negara untuk mencapai objektif dasar pembangunan negara. Kami komited dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti dan terus memperkasakan dan memperluaskan rantaian nilai dan sinergi keseluruhan aktiviti kami.

Kerjasama strategik ini menyediakan platform yang berkesan bagi syarikat-syarikat yang terlibat untuk membina kapasiti dan mengembangkan kehadiran kami dengan memanfaatkan kekuatan dan sumber yang ada bagi mengukuhkan kedudukan dalam bidang masing-masing.”

BUP adalah perbandaran 4,099 ekar yang terletak secara strategik di daerah Muar, Johor berhampiran Persimpangan Pagoh, antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Perbandaran itu terletak hanya 15 minit dari bandar Pagoh dan kira-kira 30 minit perjalanan ke bandar Muar. Bandar Universiti Pagoh adalah perbandaran pertama di Malaysia yang disepadukan dengan pusat-pusat pengajian tinggi, yang terdiri daripada empat institusi terkemuka iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Politeknik Tun Syed Nasir.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini