CCM Duopharma Berhad akan dikenali sebagai Duopharma Biotech Berhad selepas menerima Notis Menukar Nama Syarikat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia

CCM Duopharma Biotech Berhad (CCM Duopharma) telah melancarkan identiti korporat baru selaras dengan aktiviti penjenamaan korporatnya.

Syarikat kini menjalani penjenamaan semula selepas berpisah dari syarikat induknya, Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM Berhad) pada Disember 2017.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, syarikat telah mendapat kelulusan para pemegang saham untuk menukar Nama Syarikat yang merupakan sebahagian daripada inisiatif penjenamaannya.

“Inisiatif penjenamaan ini adalah bagi melengkapi misi Syarikat untuk menerajui pembangunan dan menawarkan terapi perubatan baru yang sangat diperlukan untuk menambahbaik kesihatan awam serta meluaskan jejaknya di pasaran baru di dalam dan di luar ASEAN,” katanya.

Logo baru yang direkabentuk dengan menggunakan segi enam merah mencerminkan kemodenan dan kemajuan ketika syarikat mencapai trajektori yang lebih tinggi dan mengekalkan pertumbuhan yang lebih mampan dalam kemajuan R&D dan mempercepatkan pembangunan ubat untuk memenuhi cabaran kesihatan di dunia kini.

Logo organisasi Kumpulan ini mengukuhkan lagi inisiatif Duopharma Biotech dengan perkataan “Duopharma” di bahagian bawah bagi memudahkannya dikenali oleh semua pihak berkepentingan, kolaborator dan pengguna.

Melalui slogan baru: ‘Penyelesaian Lebih Pintar. Kehidupan Lebih Sihat.’, CCM Duopharma menekankan komitmennya untuk membina masyarakat yang lebih sihat dan produktif melalui penerokaan baru dalam sains dan teknologi supaya dapat menyampaikan produk canggih dan akses yang lebih baik kepada penjagaan kesihatan bagi mereka yang memerlukannya.

“Diperbadankan pada 1978, kejayaan CCM Duopharma dibina atas kerja keras, disiplin, ketabahan dan yang paling penting, kekukuhan pekerja kami.

“Penampilan baru syarikat merupakan inspirasi daripada input kakitangan kami, dan melambangkan bagaimana jenama kami telah berkembang sejak 40 tahun yang lalu untuk menjadi salah satu jenama farmaseutikal yang paling dipercayai dan terkemuka di Malaysia serta ASEAN,” katanya.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini