- QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands) melalui anak syarikatnya, Ayamas Food Corporation Sdn Bhd (AFCSB), telah memperbaharui komitmennya dalam usaha mencapai kelestarian alam sekitar secara berterusan.
QSR Brands telah menambahbaik Loji Rawatan Air Sisa dan memasang Loji Kitar Semula di kilang Ayamas Food Corporation di Pelabuhan Klang dengan kerjasama Aliran Ihsan Resources Berhad, anak syarikat kepada MMC Corporation Berhad.

Bagi menjalankan tanggungjawab mengitar semula sisa pepejal secara lestari disamping menjadikan operasi di kilang lebih lancar dan bersih, penambahbaikan ini bertujuan untuk membantu pengeluaran produk Ayamas pada masa hadapan dimana ia membolehkan air sisa dirawat sehingga 3000 m3/sehari.
Projek jangkamasa singkat ini telah berjaya disempurnakan pada 28 Oktober 2018 dalam tempoh lapan bulan.
Selaras dengan jaminan halal QSR Brands untuk pengguna dengan pematuhan sepenuhnya dalam operasi “Farm-to-Fork” setelah berunding dengan jabatan agama yang berkaitan, loji rawatan ini dilengkapi dengan teknologi untuk merawat efluen menjadi bersih, jernih dan tidak berbau.

Air ini dikategorikan sebagai “air mutlaq” atau air tulen oleh pejabat Mufti Selangor. Penggunaan semula air terawat ini dijamin selamat dan mematuhi garis panduan pensijilan halal dan syariah, serta selaras dengan keputusan yang diterbitkan oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor.
Untuk terus menyumbang kepada beberapa inisiatif hijau yang telah dijalankan, QSR Brands melalui AFCSB juga telah melancarkan pemasangan Loji Kitar Semula yang baharu.
Efluen akhir dari Loji Rawatan Air Sisa akan digunakan semula untuk tujuan membersihkan lantai dan trak, pengepaman tandas dan penyiraman pokok.

Di majlis pelancaran itu, Pengarah Urusan QSR Brands, Dato’ Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil berkata, inisiatif itu akan menggalakkan pemuliharaan air secara mampan sambil memelihara ekosistem.
“Syarikat QSR Brands sedar sepenuhnya bahawa ia memerlukan tindakan kolektif bagi mewujudkan impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar. Melalui komitmen bersama ke atas alam sekitar ini, QSR Brands berharap untuk meneruskan hubungan kerjasama ke arah inisiatif hijau seperti apa yang telah dilancarkan hari ini untuk melindungi ekologi dan alam sekitar disamping mengekalkan kecekapan operasi syarikat.
“Peningkatan terhadap kemudahan kami dapat dicapai secara berterusan melalui teknologi yang semakin canggih, dan pelancaran loji-loji ini membuktikan komitmen kami.
“Kami percaya bahawa pemuliharaan alam sekitar bukan sekadar amalan murni, malah ia merupakan satu pelaburan yang bijak yang dapat kami lakukan untuk generasi akan datang,” katanya.

AFCSB adalah antara kilang ternakan perintis di Malaysia untuk meneroka projek ini dengan harapan dapat memberi inspirasi kepada syarikat yang lain. Dengan usaha ini, kilang Ayamas mampu mengurangkan sehingga 25 peratus daripada kebergantungan terhadap bekalan air bandar.
Teknologi yang digunakan untuk projek ini menggabungkan ultra penapisan membran dengan proses rawatan air sisa biologi yang juga dikenali sebagai Membran Bio-reaktor (MBR) untuk kerja-kerja penambahbaikan Loji Rawatan Air Sisa, dan sistem penggilap untuk Loji Kitar Semula.
Sistem penapisan ultra ini menggunakan aplikasi membran yang bersijil Halal yang diiktiraf JAKIM dengan saiz liang berjulat 0.1 hingga 0.001 mikron yang membolehkan penyingkiran sisa terperangkap, bakteria, dan virus.
Loji Rawatan Air sisa ini merupakan yang pertama di dunia yang memiliki status halal serta menghasilkan air bersih, bebas daripada patogen dan kekeruhan air yang lebih rendah justeru memberikan keyakinan kepada pengguna.
“Aliran Ihsan Resources Berhad berterima kasih kerana diberi peluang untuk menjadi rakan kongsi projek ini. Kami berharap agar lebih banyak peluang diberikan supaya kami dapat berkongsi teknologi aplikasi membran seperti membran reaktor bio dan reverse osmosis serta kepakaran rawatan air yang lain kerana ia menyumbang kepada pemuliharaan ekosistem melalui pengurusan sumber air lestari.
“Kami berharap lebih banyak syarikat akan mencontohi amalan murni AFCSB terhadap alam sekitar dan menerima inisiatif hijau dalam operasi perniagaan mereka,” kata Pengerusi Aliran Ihsan Resources Berhad, Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Noh.






































