Trak pikap Isuzu D-MAX yang terkenal cekap penggunaan bahan api kini akan memulakan cabaran baharu untuk melengkapkan perjalanan mengelilingi seluruh Semenanjung dengan hanya satu tangki diesel.
D-MAX One-Tank, One Nation Challenge bakal menyaksikan trak pikap turbo diesel Isuzu D-MAX 2.2 liter yang terbaharu ini memulakan perjalanan mengelilingi negara hari ini dari Pusat 3S Isuzu di Balakong, Selangor sebelum cuba melengkapkan perjalanannya kembali ke Kuala Lumpur enam hari kemudian dengan menggunakan hanya satu tangki diesel.
Perjalanan ini akan turut melibatkan kunjungan ke lokasi-lokasi pengedar Isuzu di Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Kelantan, Kedah dan Perak.
“Kami percaya bahawa Isuzu D-MAX baharu dengan enjin 2.2 liter ini mempunyai kualiti dan kemampuan untuk mengharungi cabaran yang mencabar begini. Dengan hantaran
kuasa yang menakjubkan melibatkan 56% daripada tork maksimum kenderaan sudah tersedia dari serendah 1,000 rpm, ia digandingkan pula dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan baharu yang membolehkan trak ini memecut dengan cekap dan
bertenaga, serta bergerak dengan sangat selesa di lebuh raya,” kata Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenichi Kudo.
Perjalanan ini akan didokumentasikan dengan cermat serta akan dikemaskini oleh duta jenama Isuzu, Baki Zainal yang akan berada di lokasi pengedar utama yang bakal disinggahi di sepanjang perjalanan tersebut.
Selain itu, peminat Isuzu D-MAX juga boleh berinteraksi dengan Baki dan kru yang terlibat serta memenangi hadiah istimewa dan menikmati jamuan ringan di setiap lokasi yang bakal dikunjungi oleh D-MAX berkenaan.
Peminat di seluruh negara juga boleh turut serta dalam perjalanan ini dengan cara meneka jarak perjalanan yang mampu dicapai oleh D-MAX apabila ia kembali ke Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Hadiah utama berupa baucar beli-belah barangan runcit bernilai RM5,000 menanti mereka yang meneka jarak tempuh yang paling hampir dengan bacaan terakhir yang berjaya dicapai, dengan ada banyak lagi hadiah sampingan untuk dimenangi.
Pastikan anda mengikuti perjalanan dan menyertai peraduan ini melalui https://pickuptruck.isuzu.net.my/d-max-onetank-onenation-2026/





































