Samsung sekali lagi memperkukuh barisan peranti tablet mereka dengan pelancaran dua tablet terbaharu iaitu Samsung Galaxy Tab S10 FE+ dan Galaxy Tab S10 FE, yang sinonim dengan prestasi premium pada harga lebih mampu milik. 

Model ini menyasarkan pengguna yang mahukan gabungan produktiviti, hiburan, dan mobiliti serta multimedia tanpa perlu mengorbankan terlalu banyak daripada segi kualiti binaan dan prestasi.

Apa yang paling menarik, Samsung turut menyertakan sokongan kecerdasan buatan (AI) pada tablet ini.

 Rekaan Luaran

Melihat pada rekaan luaran, Samsung Galaxy Tab S10 FE+ menampilkan estetika premium walaupun diklasifikasikan sebagai model pertengahan. Binaan logam sepenuhnya berasa kukuh dan elegan, hampir menyamai rekaan flagship Tab S9+. Sisi yang rata serta bucu yang bulat menjadikannya selesa dipegang walaupun dalam tempoh penggunaan yang lama.

Bahagian belakangnya kelihatan cukup kemas dan tampil eksklusif dengan logo Samsung dan modul kamera tunggal yang sedikit timbul. S Pen boleh dilekatkan secara magnetik di bahagian belakang atau sisi, memudahkan penyimpanan sementara.

Daripada segi saiz, peranti ini mempunyai skrin sebesar 13.1 inci (194.7mm x 300.6mm x 6.0mm) dengan panel LCD menjadikannya pilihan yang seimbang untuk kerja dan hiburan. Ia agak ringan dan nipis hanya 6.0mm, memudahkan pengguna membawanya ke mana-mana.

Butang kuasa dan kawalan bunyi diletakkan di sisi atas kanan (jika dipegang melintang), manakala slot kad SIM/mikroSD berada di sebelah kiri. Tablet ini turut menyokong pembesar suara stereo dwi speaker, memberikan pengalaman audio yang mengasyikkan.

Kamera

Walaupun tablet bukanlah peranti utama untuk fotografi, Samsung Galaxy Tab S10 FE+ tetap menawarkan kamera yang boleh diharapkan untuk keperluan asas.

Di bahagian belakang, terdapat satu kamera utama 13MP, cukup untuk rakaman dokumen, nota, atau tangkapan kasual. Kualiti gambar tidak mengagumkan seperti flagship, tetapi mencukupi untuk penggunaan harian. Aplikasi kamera masih menawarkan pelbagai mod seperti Pro, Panorama dan Scan Documents.

Untuk kamera hadapan pula, Samsung menyediakan lensa 12MP ultralebar, pilihan bijak bagi keperluan panggilan video dan sidang Zoom. Sudut pandang yang luas memberi keselesaan ketika menghadiri mesyuarat maya atau kelas dalam talian, terutama apabila digunakan secara mendatar. Fungsi Auto Framing juga disokong untuk memastikan wajah pengguna sentiasa dalam fokus.

Spesifikasi

Di bawah “hood”, Galaxy Tab S10 FE+ dikuasakan oleh Exynos 1580, cip pemprosesan 5nm yang turut digunakan pada beberapa model Galaxy A. Digandingkan dengan RAM 12GB dan storan dalaman 256GB (boleh ditambah melalui mikroSD sehingga 2TB), prestasinya cukup lancar untuk tugasan multitasking dan hiburan.

Skrin 13.1 inci TFT LCD dengan resolusi WQXGA+ (2880 x 1800) memaparkan imej yang tajam dan terang, meskipun tidak menggunakan panel AMOLED seperti model flagship. Namun, kadar segar semula 90Hz memberikan peralihan visual yang lebih lancar, sesuai untuk melayari laman web atau menggunakan stylus.

Bateri berkapasiti 10,090mAh menjanjikan ketahanan sepanjang hari, dan menyokong pengecasan pantas 45W – walaupun kepala pengecas perlu dibeli secara berasingan. Berdasarkan ujian awal, tablet ini mampu bertahan lebih 12 jam untuk tontonan video berterusan pada kecerahan sederhana.

Tablet ini turut dipadankan dengan sistem operasi One UI 7 berasaskan Android 15, memberikan antara muka yang bersih, mesra pengguna dan penuh fungsi tambahan seperti Samsung DeX, multi-window, dan integrasi ekosistem Galaxy yang kukuh.

Peranti ini juga mempunyai sokongan stylus S-Pen, kalis air IP68, speaker stereo, dan menyokong aksesori papan kekunci IFIT yang hadir dengan pad sesentuh terbina. Selain itu, pengguna juga boleh menyambung Galaxy Buds, Galaxy Watch, atau Galaxy Phone untuk pengalaman lebih lancar.

Fungsi S Pen amat menyerlah di sini – ia menyokong penulisan nota, melukis, menandakan dokumen dan banyak lagi. Latensi pen dan kepekaan tekanan sangat baik, walaupun tidak sehalus S Pen pada Tab S9 Ultra.

Tablet ini juga menyokong rangkaian 5G (bagi model tertentu), Wi-Fi 6 dan Bluetooth 5.3, menjadikannya serba lengkap dari segi sambungan.

Antara sokongan menarik yang disertakan ialah Circle To Search untuk memudahkan carian apa juga jenis maklumat atau gambar, ciri Solve Math untuk melakukan kiraan pantas ketika menulis pada Samsung Notes, sokongan memadam objek dalam gambar, dan beberapa ciri berasaskan kecerdasan buatan lain. Galaxy Tab S10 FE+ juga hadir dengan beberapa aplikasi terbina, termasuk LumaFusion, Sketchbook, PicsArt, Goodnotes, dan Clip Studio Paint.

Kesimpulan

Samsung Galaxy Tab S10 FE+ jelas menunjukkan bahawa peranti ini masih relevan dan berbaloi untuk dimiliki. Ia menawarkan keseimbangan antara prestasi, rekaan premium, dan harga yang lebih berpatutan jika dibandingkan dengan siri Tab S9.

Peranti seberat 664gram ini juga tahan lasak dengan kalis air dan debu menerusi penarafan IP68, sekali gus boleh menggunakan tanpa bimbang ketika melakukan aktiviti lasak.

Di dalamnya, pengguna akan menemui tablet, kabel USB-C ke USB-C, alat SIM, serta S Pen yang turut disertakan secara percuma – satu kelebihan besar untuk pengguna kreatif dan pelajar.

Tiga warna menarik ditawarkan iaitu Gray, Silver dan Blue pada RM2,799.

Kelebihan utama seperti sokongan S Pen, skrin besar, bateri tahan lama dan integrasi ekosistem Galaxy menjadikannya tablet serbaguna – sama ada untuk pelajar, pekerja profesional, atau pengguna kasual.

Walaupun terdapat beberapa kompromi seperti skrin LCD dan cip kelas pertengahan, pengalaman keseluruhan tetap memuaskan, terutamanya bagi mereka yang tidak memerlukan ciri-ciri kelas flagship.

Jika anda mencari tablet Android yang besar, bergaya dan mampu memberikan produktiviti serta hiburan dalam satu peranti, Galaxy Tab S10 FE+ patut berada dalam senarai pendek anda.

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak:

  • 1x Samsung Tab S10 FE+
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

Apa yang menarik, sebuah papan kekunci IFIT dan sebatang S Pen akan diberikan dengan setiap pembelian siri Tab S10 FE di Malaysia.

Harga jualan Samsung Galaxy Tab S10 FE dan Tab S10 FE+ ialah seperti di bawah:

Samsung Galaxy Tab S10 FE+ WiFi (12/256 GB)- RM 2799
Samsung Galaxy Tab S10 FE+ 5G (12/256 GB) – RM 3299
Samsung Galaxy Tab S10 FE WiFi (12/256 GB) – RM 2199
Samsung Galaxy Tab S10 FE 5G (12/256 GB) – RM 2699

  • Nantikan ulasan penuh Samsung Tab S10 FE+

#GalaxyTabS10FE

#GalaxyTabS10FE+

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini