HONOR kembali merancakkan pasaran telefon pintar menerusi pelancaran model baharunya, HONOR 400 Pro dalam siri HONOR 400, yang bukan sahaja menonjol daripada segi rekaan malah sarat dengan teknologi terkini terutama dalam kecerdasan buatan (AI).

Model ini bukan menyasarkan pengguna yang mengutamakan prestasi kamera, visual paparan berkualiti tinggi serta pengalaman penggunaan yang pintar dan lancar.

Dengan reka bentuk yang elegan dan spesifikasi kamera yang mengagumkan, HONOR 400 Pro menjanjikan pengalaman premium dalam segmen telefon pintar kelas pertengahan.

Apa yang menarik pada model Siri HONOR 400 ialah HONOR sekali lagi menerajui inovasi teknologi dengan mengumumkan sebagai telefon pintar pertama di dunia dilengkapi teknologi revolusioner AI Image To Video.

Ketika pesaing lain hanya menumpukan pada suntingan foto berasaskan AI, HONOR menerusi kerjasama dengan Google Cloud memperkenalkan teknologi inovatif yang mampu menghasilkan pergerakan jelas pada imej biasa dalam bentuk video.

Rekaan Luaran 

Mula-mula sekali kita lihat dahulu rekaan luaran HONOR 400 Pro yang menampilkan skrin bersaiz 6.7 inci kuad-lengkung AMOLED yang menyokong resolusi tinggi dan kadar segar semula yang lancar 120Hz.

Paparan ini memberi pengalaman visual yang sangat mengasyikkan sama ada untuk tontonan video, bermain ‘game’ atau hanya melayari internet.

Dipadankan dengan resolusi 1.5K dan 1.07 billion warna, peranti ini menawarkan sokongan HDR yang memberikan lebih kejelasan dalam setiap paparan imej.

Secara kasar, peranti bersaiz 160.8mm x 76.1mm x 8.1mm dengan berat 205gram termasuk bateri tetap memberikan keselesaan apabila digenggam dan tidak terlalu berat apabila disimpan dalam kocek.

Peranti ini turut menampilkan corak unik pada panel belakang HONOR 400 Pro yang memancarkan biasan cahaya dalam gaya elegan dan futuristik. Ini menambahkan lagi nilai estetik kepada peranti ini dan membuatkan ia tampak lebih eksklusif berbanding pesaing lain dalam julat harga sama.

Ciri Kamera 

Salah satu tarikan utama HONOR 400 Pro ialah keupayaan kameranya yang sangat mengagumkan. Telefon ini dilengkapi dengan kamera utama beresolusi 200 Megapiksel (MP), disokong oleh lensa AI Telefoto 50MP  dengan sensor Sony IMX856 yang membolehkan pengguna mengambil gambar dengan zoom optikal yang lebih jitu tanpa kehilangan kualiti.

Peranti ini hadir dengan reka bentuk tiga kamera yang menawan, manakala model standard menampilkan dwi-kamera. Rekaan ini bagi memastikan Siri HONOR 400 sentiasa menjadi tumpuan.

Reka bentuk siri Honor 400 menampilkan elemen yang menyerupai iPhone, dengan susunan tiga bonggol kamera yang menonjol di bahagian belakang. Bonggol kamera tersebut memenuhi hampir satu pertiga daripada bahagian belakang peranti.

Meskipun rekaan kamera itu dapat dirasakan besar tetapi dilindungi kerangka yang menjadikan peranti itu tidak begitu menonjol. Bahagian hadapan, dipadankan kamera selfie 50MP.

Kamera utama mampu merakam imej dengan tahap ketajaman luar biasa, butiran yang sangat jelas walaupun dalam keadaan cahaya rendah dan warna yang semula jadi.

Sama ada anda mengambil gambar landskap, potret mahupun foto makro, hasilnya sangat memuaskan. Tambahan pula, keupayaan pengimejan berbilang-bingkai (multi-frame) dan pemprosesan imej pintar menjadikan setiap rakaman lebih dinamik dan hidup.

Mod telephoto pula membolehkan pengguna merakam dari jauh dengan zoom optik yang stabil, menjadikannya sesuai untuk merakam bangunan, atau gambar candid dengan komposisi yang lebih dramatik. Ia juga menyokong zoom sehingga 50 kali ganda yang menggabungkan keupayaan optikal dan digital tanpa menjejaskan kualiti imej.

Apa yang menarik ialah peranti ini turut dilengkapi ciri AI Super Zoom dimana imej yang dirakam menggunakan zoom 50 kali akan dipertingkatkan secara automatik dengan tahap ketajaman sebanyak 50 peratus. Ini bermakna imej yang biasanya kelihatan kabur akan kelihatan lebih baik.

Anda boleh melihat imej burung merpati yang dirakam pada tingkat paling tinggi Menara Condong, Teluk Intan Perak menerusi gambar diatas. Meskipun tidak begitu tajam imej yang dihasilkan namun ia tidak menghampakan walaupun diambil pada jarak yang jauh.

Rakaman video turut tidak mengecewakan. Telefon ini menyokong rakaman resolusi tinggi dengan kestabilan yang baik, sesuai untuk kegunaan kandungan media sosial.

Ciri Inovasi AI 

HONOR 400 Pro bukan sekadar telefon pintar tetapi menawarkan pelbagai teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan pengalaman pengguna. Beberapa ciri utama AI yang diperkenalkan termasuk:

  • AI Imej ke Video – membolehkan AI termaju HONOR secara pintar menghasilkan pergerakan pada subjek, mengubah setiap imej statik kepada video MP4 pendek berdurasi lima saat.
  • Pengguna juga boleh memilih untuk memproses video tersebut dalam format 16:9 atau 9:16.

Ciri ini membuka peluang yang menakjubkan untuk mengimbau kembali pelbagai jenis kenangan. Gambar lama seorang nenek dari dekad 1950-an kini boleh dijelmakan untuk anda melihat dia berpaling dan tersenyum. Dengan ciri ini juga, lukisan naga anak anda boleh terbang megah di langit.

Cuba lihat video di atas. Pada mulanya dua aksi patung ini tidak bergerak atau berada dalam keadaan statik. Apabila butang untuk mencipta imej ke video ditekan, maka secara automatik AI akan mencipta video berdasarkan kepada imej yang diberikan. Dalam tempoh beberapa saat, anda akan dapat melihat hasilnya. Hebat Bukan!

 

Anda juga mempunyai pilihan untuk mengubah sekali lagi video dihasilkan dan ini terdapat 3 pilihan diberikan untuk menghasilkan video.

Peranti ini bukan sahaja mencipta satu kelainan dalam dunia fotografi dimana anda boleh mengubat kerinduan pada insan tersayang dengan memberikan aksi menerusi pergerakan ringkas pada imej seperti pergerakan tangan, kepala mahupun wajah.

  • AI Cutout – Fungsi ini memudahkan anda menyingkirkan objek atau seseorang secara automatik dari latar belakang gambar, sesuai untuk penyuntingan gambar yang pantas dan profesional tanpa memerlukan aplikasi tambahan. Lihat contoh-contoh imej yang dihasilkan menerusi ciri AI di atas.
  • AI Outpainting – Dengan AI ini, pengguna boleh memperluaskan imej asal dan pada masa sama mengekalkan ciri asal. Sesuai untuk imej pemandangan, lanskap dan paparan di media sosial.
  • AI Upscale – Teknologi ini membolehkan anda meningkatkan resolusi imej gambar-gambar lama resolusi rendah dengan mengekalkan ketajaman dan butiran. Ia sangat berguna bagi mereka yang ingin mencetak gambar dalam saiz besar atau menyimpan kenangan dalam kualiti tertinggi.
  • Harcourt Studio – Inspirasi dari gaya potret klasik, fungsi ini memberikan kesan pencahayaan dramatik kepada gambar potret seperti yang biasa dilihat dalam studio profesional. Ia menambahkan nilai artistik dan nostalgia dalam setiap tangkapan.
  • AI Eraser 2.0 – Salah satu ciri paling menarik, AI Eraser 2.0 membolehkan anda memadam objek atau individu yang tidak diingini dari gambar dengan hasil yang bersih dan semula jadi.
  • AI Remove Reflection – Membersihkan kesan refleksi akibat kesan daripada cermin atau flash menjadikan gambar lebih jelas dan menarik
  • AI Face Tune – Meningkatkan imej gambar dengan mengesan mata mana-mana individu dan menggunakan ciri AIGC untuk ‘membuka mata’ sama ada gambar potret atau berkumpulan.
  • Selain ciri AI Deepfake Detection Technology, peranti hebat ini turut dipadankan dengan ciri AI lain iaitu AI Magic Portal 2.0 yang kini menggantikan fungsi Circle to Search dengan keupayaan Circle to Anything yang lebih serba boleh. Ia membolehkan pengguna mengakses pelbagai perkara serta merta dengan hanya membuat bulatan pada objek atau teks yang berkaitan menggunakan belakang jari telunjuk.

    Ciri ini bukan sahaja boleh digunakan untuk membuat carian semata malahan berfungsi bagi tujuan lain seperti navigasi lokasi, perkongsian kandungan, penghantaran e-mel, pembelian barangan dan banyak lagi.

Bateri

Peranti ini dipadankan dengan bateri silikon-karbon 6,000mAh yang mampu membekalkan tenaga kepada semua komponen elektronik peranti ini dan untuk mengecas, ia menyokong sistem pengecasan 100W melalui port USB-C yang dimilkinya ataupun 50W secara wayarles.

Berdasarkan info diberikan, peranti ini mampu mengecas sehingga 51 peratus dalam tempoh 15 minit manakala 42 minit untuk pengecasan penuh. Bagi pengecasan tanpa wayar, peranti ini mampu mengecas sehingga 33 peratus dalam 15 minit manakala pengecasan penuh dalam tempoh 61 minit.

Pada tahap kapasiti penuh, peranti ini mampu bertahan sehingga 17 jam untuk penstriman video, 37 jam untuk panggilan telefon dan 29 jam untuk video offline.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, terlalu banyak hendak diceritakan mengenai ciri-ciri hebat HONOR 400 Pro ini khususnya ciri AI yang lain seperti AI Notes, AI Subtitles, Google Lens, Circle to search dan AI Translation yang boleh menterjemah sehingga 14 bahasa antarabangsa.

Justeru, ini adalah sebuah peranti yang sangat berbaloi untuk dimiliki bagi mereka yang mencari telefon pintar dengan kombinasi hebat antara reka bentuk moden, prestasi kamera profesional dan teknologi AI terkini.

Fungsi AI pula menjadikan penyuntingan gambar dan video lebih mudah, pantas, dan menarik – sesuai untuk pencipta kandungan, pereka visual, atau sekadar pengguna biasa yang gemar berkongsi detik harian secara kreatif untuk dipaparkan di media sosial.

Dengan semua kelebihan ini, HONOR 400 Pro menetapkan penanda aras baharu dalam kategori telefon pintar pertengahan premium dan pastinya mencuri perhatian di pasaran.

Kombinasi semua ciri AI ini menjadikan HONOR 400 Pro bukan sahaja alat komunikasi, malah sebuah studio kreatif di hujung jari anda. Peranti ini memiliki ketahanan kalis air IP68/69 yang mampu melindungi peranti dari kerosakan air bertekanan tinggi dan habuk.

Peranti ini akan hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Lunar Grey, Tidal Blue dan Midnight Black, manakala HONOR 400 pula akan dipasarkan dalam warna Desert Gold, Tidal Blue dan Midnight Black.

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak:

  • 1x HONOR 400 Pro.
  • 1x Kerangka silikon.
  • 1x Pengecas 100W.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.
  •  Spesifikasi HONOR 400 Pro:
  •        Paparan : 6.7” Kuad-Lengkung AMOLED, 120 Hz
  •        Pemproses: Snapdragon® 8 Gen 3, Adreno 750
  •        OS: MagicOS 9.0 + Android 15
  •        Saiz: 160.8 x 76.1 x 8.1mm
  •        Memori: 512GB
  •        RAM: 12GB
  •        Berat: 205gram (termasuk bateri)
  •        Bateri: silikon karbon – 6000mAh Fast Charging 100W
  •        CPU:  Octa-core (4×2.4 GHz Cortex-A78 dan 4×1.8 GHz Cortex-A55)
  •        Kamera belakang: 200MP + 50MP + 12MP
  •        Kamera depan: 50MP
  •        Ciri Menarik: Pengimbas cap jari, dual stereo Speak with Voice Care
  •        Kalis Air dan Habuk: IP67, IP69
  •        Warna: Desert Gold, Tidal Blue dan Midnight Black.
  •        Harga:  RM2,699

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini