Sempena bulan Ramadan, PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PMVSB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), telah menganjurkan acara tahunan ‘Bubur Lambuk Bersama Komuniti Merdeka 118’ buat kali kedua.

Pada tahun ini, acara tersebut bertambah istimewa kerana buat julung kalinya bubur lambuk disediakan dan diagihkan di Stadium Merdeka. Acara ini menghimpunkan sukarelawan dan penduduk setempat yang berpeluang untuk beramah mesra dan menjalin hubungan bermakna.

Diadakan pada hari Jumaat yang mulia, acara ini menyaksikan sukarelawan daripada PNB dan PMVSB bersama-sama menyediakan dan mengagihkan bubur lambuk kepada masyarakat sekitar.

Dari jam 7:30 pagi, sukarelawan berganding bahu memasak juadah berbuka puasa ini
untuk pengagihan yang bermula pada jam 2:00 petang selepas solat Jumaat di Masjid Al-Sultan Abdullah.

Inisiatif ini berjaya menghimpunkan ratusan penduduk setempat, dengan pengagihan
500 bungkus bubur lambuk untuk mengeratkan lagi tali silaturahim di presint Merdeka 118.

Mohd Azmi Zakaria, Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Awam (PA) Seri Sarawak, berkongsi, “Kami amat menghargai keprihatinan PMVSB yang sentiasa komited untuk berhubung dan menyokong komuniti sekeliling.

“Kehadiran mereka benar-benar memberi impak positif kepada penduduk di sini. Tahun ini merupakan tahun kedua kami menjalankan program Bubur Lambuk bersama, dan selain itu, PMVSB juga banyak membantu melalui inisiatif seperti
projek madu lebah kelulut, Dapur Komuniti, serta baik pulih taman kami.

Kerjasama ini sangat bermakna, dan kami berharap ia akan terus berlanjutan pada masa akan datang.

Dato’ Tengku Ab. Aziz Tengku Mahmud, Ketua Pegawai Eksekutif PMVSB, yang turut hadir semasa pengagihan bubur lambuk berkata, “Inisiatif ‘Bubur Lambuk Bersama Komuniti Merdeka 118’ bukan sekadar aktiviti biasa, tetapi satu usaha bermakna untuk merapatkan hubungan dalam komuniti Merdeka 118.

“Kami tidak mahu terasing daripada komuniti sekeliling, tetapi menjadi sebahagian daripadanya. Penganjuran acara di Stadium Merdeka tahun ini membuka ruang untuk kami lebih dekat dengan komuniti dan mengukuhkan lagi jalinan yang sedia ada. Kami komited untuk terus menganjurkan inisiatif yang mengutamakan serta memberi
manfaat kepada komuniti di sini,” katanya.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini