Sukan skuasy Malaysia sedang menuju era baru dengan penganjuran Kejohanan Piala Skuasy ACE Malaysia 2024 yang bakal berlangsung di the Curve Shopping Mall, Mutiara Damansara.
Dengan penyediaan gelanggang kaca bertaraf dunia, penganjur ACE Sport and Management Sdn Bhd bakal membawa pengalaman lebih dekat sukan ini kepada orang ramai apabila penonton dapat menyaksikan aksi skuasy bertaraf antarabangsa secara langsung di pusat beli-belah berkenaan November ini.
Kejohanan Siri Jelajah Dunia peringkat Gangsa Persatuan Skuasy Profesional (PSA) (PSA World Tour Series), yang akan berlangsung dari 12 hingga 17 November 2024, dijangka menarik lebih daripada 100,000 penonton.
Perlawanan pusingan awal akan berlangsung di gelanggang Jalan Duta, manakala gelanggang kaca mudah alih baharu oleh ACE akan menjadi tarikan utama di the Curve pada hujung minggu, mencipta suasana menonton yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.
Menteri Belia & Sukan, Hannah Yeoh, dalam ucapannya semasa majlis pelancaran Piala Skuasy ACE Malaysia 2024, menyatakan bahawa penganjuran acara sukan di pusat membeli-belah bukan sahaja akan memperkenalkan sukan seperti skuasy kepada generasi muda, tetapi juga mampu menginspirasi mereka untuk menceburi sukan tersebut di masa hadapan.
“Kejohanan seperti ACE Malaysia Squash Cup akan membantu negara dalam menyediakan platform bagi bakat-bakat baharu untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Acara seperti ini akan membentuk generasi juara seterusnya” tambah beliau.
Promoter Utama ACE Sports & Management, Jadish Kumar, menzahirkan rasa bangganya terhadap pembinaan gelanggang kaca itu, “Pelaburan ini menambah kemegahan dan keterujaan kejohanan. Peminat kini dapat merasai kehebatan skuasy bertaraf dunia di tengah-tengah pusat beli-belah, satu pengalaman yang pastinya luar biasa.”
Beliau turut menekankan kepentingan infrastruktur bertaraf antarabangsa seperti gelanggang kaca untuk meningkatkan prestasi pemain tempatan, “Untuk menjadi antara yang terbaik di dunia, pemain kita perlu berlatih di gelanggang berkualiti tinggi. Infrastruktur ini bukan sahaja untuk kejohanan tetapi juga untuk melahirkan atlet bertaraf dunia.”
Pada Piala Skuasy ACE Malaysia 2023 yang diadakan di Negeri Sembilan, lebih 6,000 penonton hadir, dan kali ini, dengan promosi meluas di seluruh negara, penganjur menjangka peningkatan bilangan penonton dan pemain yang lebih besar. “Kami berhasrat untuk meningkatkan bilangan ini dengan mempromosikan skuasy di seluruh negara bagi meluaskan kumpulan pemain,” tambah beliau.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, ACE Sports & Management turut mengumumkan telah memeterai kerjasama dengan University of the West of England (UWE) untuk menawarkan biasiswa kepada pemain skuasy muda Malaysia. Ini membuka peluang bagi mereka mengejar kejayaan akademik sambil terus mengembangkan kerjaya mereka sebagai pemain skuasy elit.
“Kerjasama dengan UWE ini adalah satu langkah besar,” kata Jadish. “Ia menyediakan laluan untuk melahirkan atlet yang cemerlang bukan sahaja di gelanggang tetapi juga dalam pencapaian akademik. Kami komited membentuk generasi pemain yang seimbang dalam semua aspek,” tambah Jadish selepas satu MoU dimeterai oleh ACE Sports & Management bersama UWE di majlis sama, disaksikan oleh YB Hannah Yeoh.
Pemain terkemuka Malaysia seperti Ng Eain Yow, Ameeshenraj Chandaran, Yasshmita Jadish Kumar, dan lain-lain, kini sedang menjalani latihan di bawah program skuasy elit UWE sambil meneruskan pengajian akademik mereka melalui pelbagai biasiswa yang ditawarkan.
Kejohanan Piala Skuasy ACE Malaysia 2024 ini dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM). Presiden SRAM, Gerard Monteiro, memuji penganjur ACE Sport & Management atas usaha mereka memajukan sukan ini, “Kejohanan ini bukan hanya mempromosikan skuasy di peringkat Malaysia, tetapi memberi peluang kepada atlet kita untuk menyerlah di pentas antarabangsa. Kerjasama dengan UWE adalah langkah yang penting untuk kejayaan masa depan pemain kita.”
Beliau juga memuji penganjur kejohanan berkenaan kerana menunaikan janji untuk menganjurkan pelbagai kejohanan PSA, termasuk siri satelit dan challenger, yang membantu melonjak ranking PSA pemain Malaysia.
Siri satelit ACE menjadi titik tolak untuk pemain junior beralih ke peringkat profesional, sementara acara Challenger pula membantu pemain mengumpul mata ranking dunia.
Berdasarkan kejayaan ACE Malaysia Squash Cup 2023, ACE telah mendapat sokongan besar dari organisasi skuasy antarabangsa. Kejohanan ini juga menjadi Zon Kelayakan Asia 2024 untuk CIB PSA World Championship di Mesir, satu pencapaian yang membanggakan bagi skuasy Malaysia.
Skuasy kini merupakan sebahagian daripada inisiatif “Road to Gold” Malaysia, di mana ia dijangka menjadi salah satu sukan yang berpotensi menyumbang pingat emas pertama Malaysia di Olimpik Los Angeles 2028.
Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Properties, Khairul Azizi Ismail berkata, meskipun skuasy adalah antara sukan yang mencatatkan prestasi terbaik di Malaysia, ia masih belum meliputi sebagian besar masyarakat memandangkan hanya terdapat kira-kira 2,000 pemain aktif bertanding di seluruh negara.
Beliau berharap penajaan syarikat berkenaan menerusi penganjuran kejohanan itu di the Curve, yang merupakan salah sebuah pusat beli-belah yang tersibuk di Lembah Klang, bakal menarik kehadiran lebih ramai orang untuk menonton dan mencuba sukan tersebut.
“Matlamat kami adalah untuk menjadikan sukan skuasy lebih mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat dan meningkatkan popularitinya di Malaysia,” katanya. Boustead Properties juga melalui kumpulan hotel Royale Chulan, menjadi penaja rasmi hotel untuk kejohanan ini.
Penonton di the Curve juga akan berpeluang mencuba sukan ini melalui gelanggang tiruan yang disediakan di lokasi kejohanan. Pemain sosial dari UK akan turut hadir bagi mempamerkan cara sukan ini boleh dimainkan secara santai.
Kejohanan peringkat Gangsa ini menawarkan hadiah wang tunai sebanyak USD 103,000 dan akan disiarkan di Astro Arena serta platform digital Squash TV. Siaran kejohanan dijangka menjangkau lebih 155 negara dengan anggaran 376 juta penonton di seluruh dunia.