PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah menandatangani Memorandum Persefahaman dengan PETRONAS Dagangan Berhad untuk menjalinkan kerjasama membangunkan stesen hibrid komersial yang pertama di lebuh raya Malaysia.
Kerjasama kedua-dua pendahulu industri lebuh raya dan sektor peruncitan tenaga bakal menyaksikan pembukaan Stesen Super Hibrid atau ‘Hybrid Super Station’ yang pertama. Ia akan menjadi penanda aras perkhidmatan lebuh raya di negara ini dan memberikan lebih keselesaan dan pilihan kepada pengguna.
Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad yang hadir bagi menyaksikan majlis menandatangani memorandum yang diadakan baru-baru ini menyatakan sokongan Kerajaan terhadap kolaborasi strategik ini.
“Kerjasama strategik PLUS dan PETRONAS Dagangan ini merupakan salah satu projek berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat, khususnya pengguna lebuh raya.
Dengan wujudnya Stesen Super Hibrid, rakyat yang menggunakan lebuh raya bakal menikmati perjalanan yang lebih selesa dengan pelbagai pilihan sepanjang perjalanan mereka. Kerjasama di antara PLUS dan PETRONAS Dagangan adalah selari dengan konsep MADANI yang boleh membantu menggalakkan ekonomi negara dan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat.”
Turut hadir menyaksikan majlis ini ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Malaysia, Dato’ Zahrul Hakim Abdullah, Pengerusi PLUS, Dato’ Mohamad Nasir Ab Latif, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran PETRONAS, Datuk Sazali Hamzah, Pengarah Pemantauan Operasi, Lembaga Lebuhraya Malaysia, Ir. Mohd Shahrir Amin Ahmad, pegawai-pegawai kanan Kementerian Kerja Raya Malaysia, Lembaga Lebuhraya Malaysia, PLUS dan PETRONAS Dagangan.
Stesen Super Hibrid yang bakal diwujudkan di lebuh raya ini menyediakan perkhidmatan mobiliti menyeluruh seperti stesen petrol dan diesel berskala besar termasuklah stesen pengecasan pantas (DCFC) untuk pengguna kenderaan elektrik (EV).
Selain itu, ia turut menyediakan kemudahan-kemudahan awam yang lebih selesa, perkhidmatan runcit serta ruang makanan seperti gerai makan, kafe, restoran dan sebagainya.
Pembangunan stesen hibrid ini juga memberi penekanan terhadap kelestarian menerusi reka bentuk bangunan yang efisien tenaga hingga ke penyertaan ruang hijau dan sumber tenaga yang boleh diperbaharui. Sebagai salah satu mercu mercu tanda terbaharu di lebuh raya, stesen hibrid ini bakal menjadi destinasi tersendiri dan menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih baik.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, “Sebagai pengendali lebuh raya utama di Malaysia dan rakan strategik negara, PLUS komited untuk menghubungkan komuniti bagi mencorakkan masa hadapan yang selamat dan lestari.
PLUS dengan sokongan Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pemain industri utama memainkan peranan dalam mengintegrasikan prinsip inovatif dalam operasi kami untuk membangunkan ekosistem lebuh raya pintar dan lestari.”
“Pembangunan Stesen Super Hibrid ini akan memacu pelaksanaan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon negara. Selain itu, penyediaan stesen hibrid ini juga dapat memperluaskan kemudahan perkhidmatan mobiliti kami bagi menambahbaik pengalaman pengguna lebuh raya, di samping memberi peluang kepada mereka untuk menikmati amalan kelestarian sepanjang perjalanan mereka.”