Kedai Kek Malaya, syarikat Bumiputera milik Gerbang Malaya Sdn Bhd meraikan golongan ibu tunggal dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) hari ini. Program yang diadakan di Subang Perdana menyaksikan 200 orang ibu tunggal menerima kek secara percuma.
Selain mengedarkan kek, Kek Malaya turut mengadakan jualan amal dengan menurunkan harga sebiji kek dari RM25 ke RM15. Hasil kutipan dari jualan tersebut akan disalurkan kepada rumah anak-anak yatim terpilih.
Pengarah Urusan Kedai Kek Malaya, Mior Ashraf Norul Bashah berkata, program amal ini merupakan program pertama anjuran pihaknya.
“Saya terinspirasi untuk membuat program amal ini selepas melihat rakan perniagaan yang lain menganjurkannya tetapi mereka lebih tertumpu kepada pemberian beras, jadi saya fikir kenapa tidak saya memberikan sesuatu yang lain” katanya.
Beliau berkata, pemilihan ibu tunggal sebagai penerima sumbangan kek adalah kerana pihaknya mengagumi golongan ini yang dilihat sangat tabah dan kuat dalam menyara dan menjaga kebajikan keluarga.
“Sempena aidilfiti dan sambutan hari ibu, kami ingin menyantuni dan berharap dengan pemberian kecil ini dapat menceriakan hari mereka,” katanya.
Kedai Kek Malaya mula beroperasi pada tahun 2019 dan kini mempunyai empat buah cawangan iaitu di Ole-Ole Mall, Shah Alam, Taman Alam Megah, Shah Alam, Taman Pertama, Cheras dan Subang Perdana.